Selasa, 6 Oktober 2020 | 5:54pm
Tinjauan di Sungai Batang Benar, Nilai mendapati keadaan aliran air sungai tersekat pada sampah sarap dan sisa buangan. - Foto BERNAMA
Tinjauan di Sungai Batang Benar, Nilai mendapati keadaan aliran air sungai tersekat pada sampah sarap dan sisa buangan. - Foto BERNAMA

JAS Negeri Sembilan tidak tahu punca pencemaran

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, tidak dimaklumkan kejadian pencemaran sungai di Kampung Batang Benar, Pajam.

Pengarahnya, Azuri Azizah Saedon, berkata pihaknya tidak menerima aduan berhubung kejadian terbabit, selain menyuarakan kesediaan menyiasat kes terbabit secara menyeluruh.

"Saya sudah semak pangkalan data sejak April lalu sampai sekarang dan tidak ada aduan (pencemaran sungai di Kampung Batang Benar) sampai ke JAS Negeri Sembilan.

"Kami sedang menjalankan siasatan lagi dan premis berkaitan pun kita akan siasat," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung siasatan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat, Selangor, dipercayai berpunca daripada mencuci secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta kawasan perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan.

Semalam, BH melaporkan, pihak berkuasa didakwa gagal bertindak susulan kejadian pencemaran sungai di Kampung Batang Benar, Pajam Negeri Sembilan, walaupun aduan mengenainya sudah dikemuka penduduk setempat.

Sungai di kampung berkenaan didakwa sudah lama tercemar dengan sisa pemprosesan kelapa sawit dan ladang ternakan yang menyebabkan bau busuk, sejak Mei lalu.

Penduduk mendakwa terpaksa menghidu bau busuk yang sangat teruk, khususnya selepas hujan, dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa haiwan dan sebatian pemprosesan kelapa sawit ke sungai berhampiran yang terletak kira-kira satu kilometer kediaman mereka.

Bau busuk itu dikatakan berpunca daripada sebatian berwarna hitam yang terbentuk daripada campuran sejenis tepung dan asid hidroklorik, dikenali sebagai 'earth spent', digunakan bagi pemprosesan kelapa sawit.

Berita Harian X