Selasa, 6 Oktober 2020 | 8:35am
Tinjauan pemandangan Sungai Langat dari udara susulan insiden pencemaran bau yang menyebabkan operasi LRA terpaksa dihenti tugas. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Tinjauan pemandangan Sungai Langat dari udara susulan insiden pencemaran bau yang menyebabkan operasi LRA terpaksa dihenti tugas. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

LRA Sungai Semenyih kembali operasi pagi ini

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula mengoperasikan pam air mentah bagi kerja pembersihan paip air mentah dan tangki rawatan air, pagi ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, ia berikutan hasil pensampelan di muka sauk LRA terbabit mencatat bacaan sifar TON (kadar ukuran bau), tiga kali berturut-turut.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata usaha merawat air mentah dan menstabilkan sistem LRA akan mengambil masa selama 12 jam sebelum bekalan boleh diagihkan kepada pengguna.

"Bekalan air yang diagihkan akan melalui ujian kualiti dan pematuhan standard Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air secara berperingkat mengikut lokasi bagi kawasan yang menerima air daripada LRA Sungai Semenyih, apabila proses menstabilkan rawatan air dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, ujian pensampelan di muka sauk LRA Bukit Tampoi masih mengenal pasti bacaan dua TON, setakat jam 6 pagi tadi.

Media sebelum ini melaporkan, aktiviti pencucian secara besar-besaran di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam, serta Kawasan Perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan, disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Susulan pencemaran bau itu, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas yang menjejaskan 309,605 akaun, sejak jam 4.30 petang kelmarin.

Dalam pada itu, Elina memaklumkan, sebanyak 92 lori tangki air telah digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan terjejas.

"Selain itu, 22 tangki statik, 10 stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 13 pili awam disediakan bagi kemudahan pengguna yang terjejas," katanya.

Beliau berkata, Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasinya, termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang: www.airselangor.com.

"Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.

Berita Harian X