Isnin, 5 Oktober 2020 | 6:03pm
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid (tengah) tiba bagi mendengar keputusan permohonan pihak pendakwaan supaya perbicaraannya diatas pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, dijalankan secara tertutup kerana membabitkan isu keselamatan negara di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid (tengah) tiba bagi mendengar keputusan permohonan pihak pendakwaan supaya perbicaraannya diatas pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta, dijalankan secara tertutup kerana membabitkan isu keselamatan negara di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur.

Pendakwaan kes MEIO mohon keterangan saksi dibuat secara tertutup

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, diberitahu bahawa keterangan 11 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, perlu didengar secara tertutup kerana melibatkan keselamatan negara.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad, berhujah 11 saksi itu terdiri daripada mereka yang masih bertugas di stesen masing-masing di luar negara.

"Apakah kesan hubungan luar saksi ini dengan agensi-agensi di luar negara? Sekiranya identiti saksi-saksi ini kita dedahkan ia boleh mengancam keselamatan mereka dan menjejaskan keupayaan saksi-saksi tersebut dalam menjalankan tugas mereka.

"Saksi-saksi itu juga akan mendedahkan maklumat mengenai hubungan perisikan bukan sahaja negara terbabit, malah mereka juga secara tak langsung atau secara tersirat akan mendedahkan nama negara mana yang kita (Malaysia) mempunyai hubungan rapat perisikan tersebut.

"Impak yang lebih besar, ia akan memberi kesan kepada hubungan yang telah wujud dan yang akan wujud serta memberi impak negatif kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain dan seterusnya mengancam negara kita secara umumnya," katanya dalam permohonan pendakwaan supaya 11 saksi itu memberi keterangan secara tertutup dalam perbicaraan kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta dihadapi Hasanah.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah, membantah permohonan itu kerana pihak pendakwaan tiada bukti cukup untuk mengatakan bahawa keselamatan negara akan terancam jika 11 saksi itu memberi keterangan di mahkamah terbuka.

"Dalam afidavit mereka, pihak pendakwaan berpendapat bahawa hubungan negara ini dengan negara luar akan terancam jika perbicaraan ini diadakan di mahkamah terbuka.

"Namun kami berpendapat tidak ada bukti menunjukkan keterangan saksi-saksi tersebut akan dimanipulasi kerana afidavit mengenai hubungan luar negara hanyalah spekulasi," katanya.

Tambahnya, jika pihak pendakwaan mahu 11 saksi tersebut memberi keterangan secara tertutup, mereka perlu mengemukakan bukti dan mahkamah akan menentukannya.

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan esok untuk keputusan permohonan tersebut.

"Mahkamah akan memulakan perbicaraan esok, tidak kira sama ada permohonan ini ditolak atau dibenarkan," kata Ahmad Shahrir.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu bermula hari ini, 6 dan 8, 12 hingga 15 serta 19 hingga 22 Oktober.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X