Isnin, 5 Oktober 2020 | 11:40am

Aktiviti mencuci reban itik besar-besaran punca pencemaran bau Sungai Semenyih, Sungai Langat

DENGKIL: Aktiviti pencucian secara besar-besaran yang dijalankan di kawasan reban itik dan angsa di tepi Sungai Pajam serta kawasan perindustrian Nilai 3, Negeri Sembilan disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata pencemaran bau sehingga 11 ton dikenal pasti berlaku di muka sauk Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih dan Sungai Langat di sini, tengah malam tadi.

Katanya, ia dikatakan berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang secara besar-besaran dengan bacaan pencemaran menurun kepada lapan ton, hingga jam 9.30 pagi tadi.

"Kerajaan Selangor sudah memaklumkan perkara ini kepada kerajaan Negeri Sembilan, selain pihak berkuasa di negeri berkenaan sudah diarah menjalankan siasatan sejurus aduan diterima.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan badan kawal selia air negeri berkenaan dikatakan akan mengenal pasti lokasi tepat pencemaran berbau bangkai yang dikatakan hasil daripada bahan organik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman.

Semalam, LPA Sungai Semenyih dan Bukit Tapoi di sini, dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih yang menjejaskan 309,605 akaun, sejak jam 4.30 petang.

Loy Sian berkata, dua pam berkapasiti 300 juta liter sehari (JLD), manakala dua lagi pam dengan kapasiti 27 JLD sudah diaktifkan, masing-masing di LPA Sungai Semenyih dan LPA Sungai Langat, bagi kerja pencairan pencemaran bau.

"Kedua-dua LPA yang ditutup ini dijangka dapat dibuka petang ini, jika bacaan pencemaran berada pada tahap sifar ton, selain lori tangki air sudah digerakkan ke lokasi terjejas.

"Kita juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian ini bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan pihak berkuasa," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

Ladang ternakan angsa dan itik serta kawasan industri di Negeri Sembilan dipercayai punca pencemaran bau Sungai Semenyih. - Foto hiasan NSTP
Ladang ternakan angsa dan itik serta kawasan industri di Negeri Sembilan dipercayai punca pencemaran bau Sungai Semenyih. - Foto hiasan NSTP
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (kiri) melihat sampel air yang tercemar selepas sidang media berkenaan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Semenyih. Turut hadir, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman (dua dari kiri). - NSTP/Asyraf Hamzah

Berita Harian X