Isnin, 5 Oktober 2020 | 10:14am
Pemandangan Sungai Semenyih dari udara. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Pemandangan Sungai Semenyih dari udara. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

LRA Semenyih Fasa 2 beroperasi seperti biasa

KUALA LUMPUR: Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih fasa dua yang membekalkan air ke Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitar masih diteruskan seperti biasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata ini kerana LRA Semenyih fasa dua berkapasiti 100 juta liter sehari (MLD) itu mendapat bekalan dari Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berpunca dari Sungai Langat.

Mengulas lanjut katanya, penutupan LRA Semenyih hanya membabitkan fasa satu sahaja berkapasiti 650 MLD yang mendapat sumber air mentah dari Sungai Semenyih, manakala operasi bagi fasa dua diteruskan seperti biasa.

"Sehingga kini TAPS sudah dibina di LRA Semenyih fasa dua dan ia terus beroperasi membekalkan ke Bandar Baru Bangi dan sekitarnya.

"Bagi LRA Semenyih fasa satu kerajaan merancang untuk membina TAPS sejak 2017, " katanya melalui Facebook, di sini.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke dua loji berkenaan.

Henti tugas loji ini menyebabkan 274 kawasan terjejas dengan 309,687 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Pada masa sama, Zaini berkata, bagi Putrajaya pula, ia mempunyai tangki air yang besar atau 'reservoir' kira-kira 110 juta liter (ML) yang boleh bertahan selama beberapa hari bergantung kepada kadar penggunaan.

TAPS adalah kaedah penyimpanan air mentah dengan cara mewujudkan kolam di kawasan hilir dan pinggir sungai serta berhampiran loji dengan ia kini diguna pakai di Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor.

Ia berfungsi sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama sungai.

Berita Harian X