Isnin, 5 Oktober 2020 | 9:45am

Sungai Semenyih tercemar, punca dari kawasan industri Nilai

SEPANG: Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang semalam, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

"Buat masa ini kita terpaksa menunggu pencemaran bau itu hilang, barulah loji dapat beroperasi semula. Setakat ini kita tidak pasti berapa lama sebab kita masih menyiasat punca pencemaran bau itu dan seluruh pasukan penyiasat tertumpu di Sungai Batang Benar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selepas mendengar taklimat daripada Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Stesen Pam Air Mentah Loji Sungai Semenyih, Jenderam Hilir, di sini malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, sampel air yang diambil dari Sungai Semenyih pada pukul 4.30 petang semalam adalah 4 TON (ukuran kadar bau), manakala pada jam 9 malam tadi ia meningkat kepada 11 TON.

Tuan Ibrahim (kanan) bersama Amirudin menunjukan sampel air mentah yang diambil dari Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir selepas sidang media mengenai Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan. - Foto BERNAMA
Tuan Ibrahim (kanan) bersama Amirudin menunjukan sampel air mentah yang diambil dari Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir selepas sidang media mengenai Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan. - Foto BERNAMA

"Jadi sukar untuk kita jangka adakah ia makin meningkat, selagi puncanya belum ditutup. Warnanya pun semakin keruh," katanya.

Tuan Ibrahim menegaskan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran itu akan diarahkan menutup operasi, selain dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu Amirudin berkata, pihak Kerajaan Negeri Negeri Sembilan serta Jabatan Alam Sekitar negeri itu sudah dihubungi bagi memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"Sungai Batang Benar adalah anak sungai kepada Sungai Pajam dan dari Sungai Pajam mengalir ke Sungai Semenyih. Jaraknya sekarang kira-kira 30 kilometer dan ia (pencemaran) bukan sahaja rentas daerah tetapi sudah rentas negeri pun," katanya.

Bagi penyelesaian jangka panjang, katanya kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk menggerakkan pelan bagi mengambil air dari Tasik Putrajaya sebagai alternatif jika berlaku gangguan bekalan air di Selangor.

"Kita sudah buat kiraan, jika berlaku pencemaran, kita boleh bertahan kira-kira tujuh hari (dengan air dari Tasik Putrajaya).

"Dengan komitmen diberikan oleh Menteri (Tuan Ibrahim) kita berharap masalah dapat diatasi dan kosnya kita sedia bincangkan," katanya sambil menambah pencemaran itu turut memberi kesan kepada kawasan Putrajaya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata kementerian menjangkakan pelan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun lagi.

Sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada pukul 4.30 petang tadi, akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata dua LRA terbabit LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi yang sudah dihenti tugas sepenuhnya.

– BERNAMA

Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang semalam. - Foto fail NSTP
Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang semalam. - Foto fail NSTP
Berita Harian X