Ahad, 4 Oktober 2020 | 6:24pm
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto NSTP

COVID-19: Dua kluster baharu muncul di Sabah, Selangor

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengenal pasti dua kluster baharu jangkitan COVID-19 masing-masing di Sabah dan Selangor dengan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster terbabit dikenali sebagai Kluster Kau Sing di Tawau, Sabah dan Kluster Embun di Huhlu Langat, Selangor.

Beliau berkata, Kluster Kau Sing membabitkan kes indeks iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun.

"Lelaki terbabit dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 25 September lalu, dan dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan enam lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti.

"Daripada tujuh kes dikesan positif, sebanyak lima kes adalah rakyat tempatan dan dua kes bukan warganegara. Mereka dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 27 individu sudah disaring dengan tujuh daripada mereka disahkan positif COVID-19, manakala sembilan negatif dan 11 lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Hisham berkata, Kluster Embun pula dikenal pasti di Hulu Langat, Selangor, membabitkan kes indeks iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun yang turut disahkan positif COVID-19 melalui saringan pada 29 September lalu.

"Seramai 52 individu sudah disaring sehingga jam 12 tengah hari tadi, dengan lima daripada mereka disahkan positif, manakala 21 lagi negatif dan 26 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, di sini. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan empat lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini membabitkan rakyat tempatan dan mereka juga dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X