Sabtu, 3 Oktober 2020 | 6:13pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

3 kluster baharu dikesan di 2 negeri

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu yang tercetus di dua negeri, masing-masing dua di Kedah dan satu di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Bah Lunas dikenal pasti di Kulim, Kedah dan kes indeks, iaitu kes ke-11,471 adalah membabitkan seorang lelaki tempatan, berusia 35 tahun yang pulang dari kawasan berisiko di Sabah.

"Beliau dikesan positif pada 30 September lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Kedah. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Lunas dikenal pasti.

"Semua kes positif ini membabitkan warganegara dan mereka dimasukkan ke HSB. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 112 individu disaring dan empat daripadanya dikesan positif COVID-19.

"Seramai 21 individu negatif dan 87 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bah Rose di Kuala Muda, Kedah pula membabitkan kes indeks daripada seorang lelaki tempatan (kes ke-11,212) berusia 48 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Katanya, kes dikesan positif COVID-19 pada 29 September lalu dan dimasukkan ke HSB. Justeru, saringan kontak rapat dijalankan dan tujuh lagi kes positif COVID-19 bagi Kluster Bah Rose dikenal pasti.

"Semua kes positif ini meliputi rakyat tempatan dan mereka dimasukkan ke HSB untuk rawatan. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 477 individu disaring, iaitu Kedah (81 orang) dan Pulau Pinang (396 orang).

"Tujuh dikesan positif COVID-19 di Kedah, 69 individu negatif dan lima lagi masih menunggu keputusan. Di Pulau Pinang, satu dikesan positif, 71 negatif dan 324 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Di Selangor pula, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengesan Kluster Jelok yang didapati turut menular di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, membabitkan kes indeks (kes ke-11,788) iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun.

Beliau berkata, kes dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala Khamis lalu dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, manakala saringan kontak rapat dijalankan dan tiga lagi kes positif COVID-19 daripada kluster berkenaan dikenal pasti.

"Semua kes positif membabitkan rakyat tempatan dan mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Sehingga jam 12 tengah hari tadi, lapan individu disaring dan empat daripadanya positif dan selebihnya negatif. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X