Khamis, 1 Oktober 2020 | 12:26pm

Kongres Ekonomi Bumiputera gariskan 13 resolusi

KUALA LUMPUR: Kongres Ekonomi Bumiputera 1 (KEB 1) 1965-2020 hari ini, menggariskan 13 resolusi yang perlu diberi perhatian bagi memperkasakan semula Bumiputera, selain menterjemahkan semua peluang dan hak dengan lebih bijaksana.

Resolusi yang diperakui dan perlu diambil tindakan adalah:

- Bahawa Majlis Raja-Raja adalah bersama Kerajaan bertanggungjawab melindungi dan memelihara hak dan kepentingan Bumiputera seperti mana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwasiatkan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu.

- Kerajaan bersama semua pemegang taruh Bumiputera, sepakat bertindak secara kolektif memajukan dan memakmurkan Bumiputera di atas pelantar yang adil dan saksama, tanpa mempertikaikan, jauh sekali merampas hak dan kepentingan lain-lain pihak.

- Memperkasakan masyarakat Orang Asli dalam semua bidang kehidupan, untuk maju dan makmur setara dengan bangsa Melayu dan lain-lain etnik Bumiputera.

- Melaksanakan reformasi institusi dengan keutamaan terhadap saranan berikut.

- MARA diangkat menjadi agensi ulung bagi memperkasakan Agenda Kemakmuran Bumiputera termasuk masyarakat Orang Asli.

- YaPEIM diangkat menjadi agensi ulung bagi mengislahkan Agenda Muamalat secara komprehensif, mengikut acuan Islam.

- Pindahkan kedua-dua agensi ulung itu ke kementerian baharu yang diletakkan di Jabatan Perdana Menteri dengan Perdana Menteri sendiri sebagai Menterinya.

- Secara inklusif, MARA dimandatkan dan dimudahcarakan untuk lebih berwibawa, menterjemah dan melaksanakan sepenuhnya semua peruntukan yang terkandung dalam Akta MARA 1966, bagi merealisasikan visi dan mencapai misinya bermula dengan:

# Penguasaan beberapa institusi kewangan domestik mahupun antarabangsa, yang strategik bagi menggantikan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (BBMB) yang sudah dibubarkan.

# Penguasaan beberapa badan perdagangan, domestik dan perbadanan antarabangsa yang strategik bagi menglobalkan perniagaan diceburi Bumiputera.

# Menubuhkan Jabatan Pembangunan Bandar, bagi meneruskan visi, misi dan peranan Pihak Berkuasa Pembangunan Bandar (UDA) yang sudah dibubarkan.

- Mengislahkan sistem penyampaian di semua sektor awam, korporat dan swasta untuk lebih efisyen.

- Melaksana pelbagai program pembangunan insan untuk 'merabbanikan' semua pemegang taruh Bumiputera, menjadi lebih komited dan bersemangat dalam menggalas amanah serta tanggungjawab masing-masing.

- Menggubal satu akta khas dinamakan Akta Kesaksamaan Peluang bagi memastikan Bumiputera peroleh hak saksama dalam dunia pekerjaan, perniagaan dan pemilikan ekuiti.

- Bangunkan pebagai sistem, model dan program ekonomi, muamalat dan kemakmuran yang relevan serta dipacu teknologi.

- Jadikan Wisma Bina Daulah Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebagai Sekretariat Tetap KEB 1 1965-2020 bagi membantu kerajaan mengendalikan pelbagai peranan pemantauan dan penilaian berkala akan perlaksanaan resolusi KEB 1 1965-2020 ini.

Berita Harian X