Rabu, 30 September 2020 | 5:58pm

Peminjam terjejas tidak dikenakan penalti

KUALA LUMPUR: Bank memberi jaminan bahawa peminjam yang memohon bantuan pembayaran balik pinjaman dengan dokumen yang relevan tetapi belum mendapat maklum balas daripada bank tidak akan dikenakan penalti, demikian kata persatuan bank.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam (AIBIM) berkata, peminjam yang sudah menghantar permohonan bagi bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar setakat ini tetapi belum mendapat maklum balas dijangka memperoleh maklum balas daripada bank mereka dalam tempoh terdekat.

Malah, sebagai alternatif, persatuan bank menyarankan supaya peminjam menghubungi bank masing-masing untuk menyemak status permohonan jika belum menerima perkembangan terkini daripada bank.

"Bank berusaha untuk memproses semua permohonan untuk bantuan pembayaran balik yang disasarkan secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Persatuan bank berkata, peserta industri perbankan juga mempermudahkan permohonan dan proses dokumentasi bagi bantuan pembayaran balik bersasar sejajar dengan komitmen untuk menyokong peminjam terjejas.

Ia berkata, bank juga memastikan bahawa penerimaan lanjutan moratorium bersasar dan fleksibiliti pembayaran balik itu tidak akan dipaparkan dalam rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Industri perbankan sudah memproses sebahagian besar permohonan yang diterima, dengan kadar kelulusan 98 peratus bagi individu dan PKS pada pertengahan September 2020," katanya.

Persatuan bank itu berkata, peminjam yang belum memohon bantuan pembayaran balik sebelum 1 Oktober 2020 perlu memulakan semula ansuran bulanan mereka berdasarkan jumlah ansuran seperti yang dinasihatkan oleh bank mereka, mulai Oktober 2020.

Ia berkata, sekiranya peminjam yang terbabit tidak dapat meneruskan pembayaran pinjaman atau pembiayaan mereka dan memerlukan bantuan, mereka masih boleh memohon bantuan pembayaran balik daripada bank mereka.

"Bank menggesa peminjam yang terjejas untuk bertindak sekarang dan jangan berlengah. Bagi terus membantu peminjam untuk membuat permohonan bantuan pembayaran balik, cawangan bank terpilih di seluruh negara akan terus melanjutkan waktu operasi pada hari bekerja dan dibuka pada hujung minggu.

"Peminjam terjejas yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO) dan berdepan kesukaran dalam menghantar permohonan boleh menghubungi bank mereka," katanya.

Persatuan bank berkata, industri perbankan menyedari bahawa sementara ekonomi sedang pulih, banyak peminjam mungkin masih mencari-cari jalan mengukuhkan kedudukan mereka di tengah-tengah realiti dan ketidaktentuan baharu.

Ia berkata, sekiranya tanggungjawab pembayaran balik menjadi cabaran dalam beberapa bulan akan datang, pintu sentiasa terbuka untuk peminjam berbincang mengenai pengaturan pembayaran balik alternatif.

Katanya, industri perbankan menyokong peminjam mengharungi persekitaran ekonomi yang mencabar sejak permulaan penularan COVID-19 dan akan meneruskan sokongannya itu.

Berita Harian X