Rabu, 30 September 2020 | 2:00pm
Gambar fail Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah yang meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun. - Foto AFP
Gambar fail Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah yang meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun. - Foto AFP

PM zahir ucapan takziah atas kemangkatan Emir Kuwait

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah.

"Semoga Allah SWT memberkati baginda dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya.

Ucapan sama turut dizahirkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mendoakan Almarhum sentiasa diberkati dan keluarga baginda dikurniakan ketabahan.

"Didoakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga Al-Sabah serta rakyat Kuwait dalam mendepani saat sukar ini," katanya.

Pemerintah Kuwait yang dikenali sebagai arkitek dasar luar Kuwait moden dan turut menjadi perantara ketika berlaku ketegangan di kawasan Teluk disahkan meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun.

Sheikh Sabah mempunyai reputasi yang tinggi sebagai pemimpin yang banyak membantu negaranya dalam serangan Iraq pada 1990, krisis pasaran minyak dunia dan pergolakan di Parlimen serta jalanan.

Berita Harian X