Selasa, 29 September 2020 | 9:27pm
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Empat kluster baharu dikesan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Empat kluster baharu dikesan. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

COVID-19: 4 kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Empat kluster baharu dikesan membabitkan dua di Sabah, dan masing-masing satu di Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua kluster yang dikesan di Sabah ialah Kluster Jalan Bomba dan Kluster Jalan Utara.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster iaitu kes ke-11,110 adalah lelaki warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah pada 20 September lalu.

"Kes bergejala demam dan batuk dan didapati positif COVID-19 pada 28 September 2020. Kes dimasukkan ke Hospital Duch of Kent, Sandakan.

"Hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif COVID-19 pada 28 September 2020," katanya pada sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Utara dikenal pasti hasil saringan petugas kesihatan di sebuah institut latihan di Sandakan.

Beliau berkata, dua petugas kesihatan dikesan positif COVID-19 pada 28 September 2020.

"Mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan," katanya.

Satu lagi kluster dikesan di Selangor, Kluster Benteng PK, dikenal pasti melalui saringan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Klang.

Dr Noor Hisham berkata, saringan itu dijalankan dari 16 hingga 25 September apabila lapan PATI dikesan positif COVID-19.

Beliau berkata, saringan kontak rapat mendapati satu kes positif bagi kluster itu, semalam, membabitkan seorang anggota polis.

"Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Sehingga kini, seramai 148 sudah disaring," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi Kluster Bakawali di Johor adalah pasangan suami isteri warga tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna pada 13 hingga 18 September.

Beliau berkata, pada 24 September, kedua-dua kes bergejala demam, selesema dan batuk yang kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

"Mereka didapati positif COVID-19 pada 26 September dan dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, Johor.

"Hasil saringan kontak rapat mendapati dua lagi kes positif bagi kluster ini. Sehingga 29 September, seramai 25 individu sudah disaring.

"Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan bagi kesemua kluster," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X