Selasa, 29 September 2020 | 1:19pm

MCPF cadang tubuh Jawatankuasa Jenayah Siber

GEORGETOWN: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Jenayah Siber di negara ini bagi menangani isu berkaitan jenayah siber dengan lebih menyeluruh dan efektif.

Ia berikutan peningkatan kes jenayah siber sejak akhir-akhir ini terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata jawatankuasa itu kelak turut membabitkan kerjasama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Katanya, jawatankuasa itu bukan sahaja bertindak sebagai badan pemantau tetapi turut mengenal pasti langkah berkesan bagi membanteras jenayah siber atau dalam talian.

"Menerusi laporan KKMM, aduan mengenai kes berkenaan menunjukkan peningkatan yang tinggi sepanjang PKP lalu iaitu sebanyak 91.37 peratus antara 18 Mac hingga 30 Jun.

"MCPF sudah merangka kertas kerja yang dijangka siap dua minggu lagi dan seterusnya akan diserah kepada beberapa kementerian yang berkaitan," katanya dalam sidang media, program Sesi Pendengaran MCPF mengenai Strategi Kepolisan Semasa Pandemik COVID-19: Kisah Kejayaan Polis dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Yang Berkaitan di Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menerusi indeks jenayah siber pada tahun 2018 mencatatkan sebanyak 10,754 kes diikuti peningkatan sehingga 11,875 kes pada tahun 2019, manakala antara Januari hingga Jun lalu pula mencatatkan sebanyak 9,146 kes dengan kerugian sebanyak RM247 juta.

Lam Thye dalam sidang media program Sesi Pendengaran MCPF mengenai Strategi Kepolisan Semasa Pandemik COVID-19: Kisah Kejayaan Polis dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Yang Berkaitan di Pulau Pinang, di sini, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Lam Thye dalam sidang media program Sesi Pendengaran MCPF mengenai Strategi Kepolisan Semasa Pandemik COVID-19: Kisah Kejayaan Polis dan Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Yang Berkaitan di Pulau Pinang, di sini, hari ini. - NSTP/Danial Saad
Berita Harian X