X
Sabtu, 26 September 2020 | 3:32pm
ISMAIL Sabri Yaakob. Foto/Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob. Foto/Bernama

115 ditahan ingkar arahan PKP

PUTRAJAYA: Seramai 115 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata daripada jumlah itu, seramai 111 individu dikenakan tindakan kompaun manakala empat lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal membabitkan 35 individu, keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (31), dokumen perjalanan tamat tempoh (26), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (lima), dan tidak memakai pelitup muka (seorang).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 19 operasi sanitasi dijalankan di enam negeri semalam iaitu enam di Kedah, lima di Sabah, empat di Pulau Pinang, dua di Sarawak dan masing-masing satu di , Pahang serta Negeri Sembilan.

Beliau berkata, operasi sanitasi itu membabitkan seramai 36 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 198 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta seorang dari agensi lain.

"Semalam, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 677 premis perniagaan termasuk peruncit (505), pemborong (146) dan pengilang (26).

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,116 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,094 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 22 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 53,695 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,846 Pasukan Pematuhan membabitkan seramai 12,356 anggota membuat pemantauan di 3,458 pasar raya, restoran (4,302) , penjaja (1,358), kilang (1,065), bank (3,459) dan 630 pejabat kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, turut dipantau, sebanyak 1,196 terminal pengangkutan darat, 186 terminal pengangkutan air serta 149 terminal pengangkutan udara.

Katanya, Operasi Benteng yang dijalankan semalam pula berjaya melakukan tangkapan membabitkan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ismail Sabri berkata, turut dirampas dua bot dan lima kenderaan darat.

"Sebanyak 98 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam membabitkan PDRM (76 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR), dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (12 SJR).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X