Jumaat, 25 September 2020 | 9:33pm
Dua bendera parti yang bersaing sengit dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) (kiri) dan bendera Parti Barisan Nasional (BN) (dua, kiri) berkibar dekat Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Likas, menempatkan pejabat Ketua Menteri Sabah ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA
Dua bendera parti yang bersaing sengit dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 iaitu Parti Warisan Sabah (WARISAN) (kiri) dan bendera Parti Barisan Nasional (BN) (dua, kiri) berkibar dekat Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Likas, menempatkan pejabat Ketua Menteri Sabah ketika tinjauan hari ini. - Foto BERNAMA

KKM gesa patuhi SOP menjelang PRN Sabah esok

KUALA LUMPUR: Menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok, Kementerian Kesihatan (KKM) meminta rakyat lebih berwaspada dan meningkatkan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan jumlah kes positif COVID-19 di negeri itu yang terus melonjak.

Risiko penilaian penularan COVID-19 di Sabah turut dikesan berikutan empat daripada lima kawasan di Malaysia yang bertukar sebagai zon merah terletak di Sabah iaitu membabitkan Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan 97 kes positif COVID-19 di Sabah hari ini dan terdapat 10 kes dikesan dijangkiti selepas kembali dari negeri itu menandakan kesiapsagaan perlu dipertingkatkan secara berterusan.

"KKM akan terus meningkatkan kesiapsagaan di lapangan, klinik, makmal dan hospital bagi terus berusaha membendung penularan COVID-19 di Sabah.

"Individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Bagi individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham turut berkata, KKM menggalakkan masyarakat di Sabah untuk keluar mengundi dengan memastikan langkah keselamatan bagi mencegah penularan COVID-19 dilaksanakan secara menyeluruh.

"KKM menggalakkan masyarakat untuk keluar mengundi namun dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan di pusat mengundi.

"Amalkan penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.

"Selain itu, dapatkan bantuan kesihatan sekiranya anda bergejala," katanya.



  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X