Jumaat, 25 September 2020 | 8:38pm

Operasi Gempur: 942 premis industri lakukan kesalahan pencemaran alam sekitar

BANGI: Sebanyak 2,956 tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam Operasi Gempur sejak Januari lalu, yang mana 942 premis dikesan melakukan kesalahan pencemaran.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) termasuk mengeluarkan 881 Notis Arahan dan 2,005 kompaun bernilai RM4.01 juta, 37 penahanan operasi kelengkapan, empat premis digantung lesen, satu premis dikenakan Perintah Larangan dan 28 kertas siasatan disediakan untuk tindakan mahkamah.

Sejak Januari hingga 18 September lalu, JAS melaksanakan 72 Operasi Gempur di seluruh negara, membabitkan pemeriksaan ke atas 2,572 premis pelbagai industri, yang terdiri daripada 70 kilang yang dilesenkan jabatan itu iaitu kilang kelapa sawit, kilang getah asli mentah atau kemudahan pengolahan atau pelupusan buangan terjadual.

"Operasi Gempur yang mula dijalankan tahun ini adalah antara inisiatif berimpak tinggi bertujuan mempertingkat penguatkuasaan dan pematuhan industri kepada perundangan alam sekitar.

"Melalui operasi ini, penguatkuasaan difokuskan kepada premis atau punca pencemaran terutama yang terletak di hulu takat pengambilan air, sering diadu menghasilkan beban pencemar yang tinggi, sering dikenakan tindakan penguatkuasaan, premis menghasilkan buangan terjadual dalam kuantiti yang tinggi atau terletak dalam kawasan yang mempunyai isu alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Operasi Gempur Selangor 2020 di Kawasan Perindustrian Bangi di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyebabkan pencemaran sungai.

"Dalam hal ini, seseorang yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 25, AKAS 1974, boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Selain itu katanya, pengurusan buangan terjadual perlu diberi perhatian serius supaya mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada, yang mana ia perlu dikitar semula atau dilupuskan di premis yang dilesenkan JAS saja.

"Ini disebabkan buangan terjadual yang mempunyai ciri berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia dan pencemaran air, udara serta tanah," katanya.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar (kanan) dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Dr Zaini Ujang (kiri) pada sidang media di Tapak Pasar Malam Bangi. - NSTP/Genesv Gulitah
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar (kanan) dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Dr Zaini Ujang (kiri) pada sidang media di Tapak Pasar Malam Bangi. - NSTP/Genesv Gulitah
Berita Harian X