Khamis, 24 September 2020 | 10:51pm
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto BERNAMA

'Undi wakil rakyat yang bermaruah, berintegriti' - Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memohon maaf dan merayu agar semua rakyat Sabah lebih berhati-hati, ketika mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini.

Menerusi siaran secara langsung di Facebook, Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata beliau memohon maaf kerana menyedari rakyat berdepan risiko COVID-19 pada hari mengundi kelak.

"Dalam kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat di Sabah kerana terpaksa berhadapan PRN di mana kita bukan hanya berkempen, malah perlu mendampingi pengundi yang ada di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sudah pasti dengan keadaan COVID-19 melanda ketika ini, kemungkinan besar risiko kita dijangkiti adalah besar.

"Namun demikian, disebabkan akibat pergolakan politik membabitkan perebutan kuasa bukan hanya berlaku dalam negara kita, malah juga di Sabah.

"Maka dengan itu, kita terpaksa membubarkan DUN agar dengan sistem demokrasi yang ada di negara ini, kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang menjadi wakil rakyat, bukannya kepada pihak tertentu," katanya.

Beliau turut menegaskan, PRN kali ini amat penting untuk rakyat Sabah memilih siapa yang harus membentuk kerajaan.

"Maka dengan itu, PRN kali ini cukup penting bagi kita di Sabah memastikan kita mempunyai kerajaan dengan wakil rakyat yang bukan hanya bermaruah tetapi berintegriti bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat.

"Saya berharap dalam usaha kita menambat undi yang ada, rakyat diminta berhati-hati dan harus berjaga-jaga agar COVID-19 tidak akan menjangkiti sesiapa khususnya dalam kalangan pengundi.

"Dalam kesempatan ini saya juga ingin memaklumkan agar tunaikan tanggungjawab kita sebagai rakyat yang mempunyai hak mengikut Perlembagaan Malaysia

"Tunaikan tanggungjawab mengundi pihak yang kita perlu pilih untuk menjadi wakil rakyat di Sabah.

"Saya berharap orang ramai agar turun mengundi pada Sabtu ini agar kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan boleh menjamin masa depan rakyat," katanya.



Berita Harian X