Khamis, 24 September 2020 | 7:24pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Anggota polis trafik positif dadah, ditahan menipu

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis ditahan kerana disyaki menipu, kononnya boleh menawarkan bantuan menyelesaikan saman trafik seorang pemandu lori di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata anggota polis trafik berusia 45 tahun itu ditahan jam 7.30 petang di IPD Petaling Jaya tidak lama selepas polis menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan, semalam.

Beliau berkata, kejadian bermula pada 17 September lalu apabila pemandu lori berumur 46 tahun yang membuat semakan di IPD Petaling Jaya itu, mendapati anaknya mempunyai saman RM1,120, dan ketika masih di kaunter bahagian trafik itu juga beliau ditegur suspek yang menawarkan saman itu diselesaikan dengan bayaran RM500.

"Suspek memberi alasan kononnya dia mempunyai rakan di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang boleh membantu bagi pengurangan saman berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Nik Ezanee berkata, pemandu lori itu kemudiannya memindahkan RM500 ke akaun suspek yang berjanji akan menyelesaikan saman itu dalam masa tiga hari, namun ia masih tidak diselesaikan sehingga laporan polis dibuat semalam.

Katanya, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, selepas menjalani ujian air kencing semasa ditahan, dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya membuat pembayaran saman hanya di kaunter Trafik COPS di seluruh negara, dan mendapatkan resit bagi setiap pembayaran. – BERNAMA

Berita Harian X