Rabu, 23 September 2020 | 6:19pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA

COVID-19: 147 kes baharu, tiga kematian

KUALA LUMPUR: Kes baharu jangkitan COVID-19 naik kepada tiga angka, sebanyak 147 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini adalah sebanyak 10,505 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 143 kes adalah penularan dalam negara, membabitkan 115 warga tempatan dan 28 warga asing.

"Empat kes import yang mendapat jangkitan luar negara, membabitkan tiga warga tempatan dan satu warga asing," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, daripada keseluruhan kes penularan tempatan, 134 kes adalah di Sabah, membabitkan 105 kes daripada Kluster Benteng LD, terdiri daripada 90 warga tempatan dan 15 warga asing.

"Lapan kes adalah Kluster Laut membabitkan warganegara, lapan kes Kluster Bangau-Bangau (enam warganegara, dua warga asing), lima kes lagi Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), membabitkan empat warganegara dan satu warga asing serta dua kes saringan petugas kesihatan di Hospital Semporna membabitkan warganegara.

"Selain itu, dua kes Kluster Pulau membabitkan warganegara, dua kes daripada Kluster Udin membabitkan warga asing dan satu kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, membabitkan warganegara," katanya.

Beliau memaklumkan, lima lagi kes baharu dicatatkan di Kedah iaitu empat kes daripada Kluster Sungai dan satu kes saringan komuniti, yang semuanya membabitkan warganegara.

Selain itu, dua kes dicatatkan di Selangor iaitu satu kes saringan masuk kerja membabitkan warganegara dan kes saringan kontak rapat kepada kes ke- 10,286, yang kedua-duanya mempunyai sejarah balik dari Semporna.

"Satu kes pula di Kuala Lumpur iaitu kes saringan pulang dari kawasan berisiko iaitu Sabah, yang membabitkan warganegara dan satu kes di Kelantan iaitu kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dari Sabah yang membabitkan warganegara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk dua kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak 39 kes pulih COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya di negara ini adalah sebanyak 9,602 kes.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga berkata, kes COVID-19 mencatatkan tiga lagi kematian hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat virus itu di negara ini meningkat kepada 133 kes.

Beliau berkata kes kematian ke-131 (kes ke-10,495) membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

"Kes mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September lalu dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September dalam keadaan separa sedar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 19 September.

"Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada jam 10.20 malam. Saringan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya didapati positif pada 22 September lalu," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-132 (kes ke-10,493) pula membabitkan lelaki warga tempatan berusia 54 tahun, yang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan, Hospital Semporna, Sabah pada 18 September lalu, bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas.

"Saringan COVID-19 dijalankan dan keadaan kes didapati semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September dan dimasukkan ke ICU. Kes disahkan meninggal dunia pada 22 September jam 6.55 petang. Saringan COVID-19 didapati positif terhadapnya pada 22 September," katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-133 (kes ke-9224) membabitkan lelaki warga tempatan berusia 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok, yang dikesan sebagai kontak rapat kepada kes ke-9,124 (sudah meninggal dunia) dan kes positif dalam Kluster Tawar.

"Kes tidak bergejala, dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke ICU. Kes disahkan meninggal dunia pada 23 September, jam 3.40 pagi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X