Rabu, 23 September 2020 | 6:15pm

Kluster Udin pula di Tawau

KUALA LUMPUR: Satu lagi kluster baharu dikesan di Tawau, Sabah iaitu Kluster Udin, yang kini sudah menjangkiti tiga individu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks kluster itu membabitkan seorang wanita warga tempatan (kes ke-9,894) berusia 72 tahun, yang dikesan positif COVID-19 hasil saringan warga emas yang dijalankan di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 September lalu.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi dikesan positif COVID-19 pada 22 September lalu.

"Kedua-dua kes positif ini membabitkan warga Filipina. Mereka tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hingga 12 tengah hari ini, sejumlah 128 individu sudah disaring yang mana tiga positif, 71 negatif dan 54 sedang menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan dijalankan di lokasi terbabit. Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X