Rabu, 23 September 2020 | 2:56pm
Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika melakukan kawalan di Flat Tongkang Yard, Seberang Perak. - NSTP/Amran Hamid
Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika melakukan kawalan di Flat Tongkang Yard, Seberang Perak. - NSTP/Amran Hamid

COVID-19: Polis tahan 65 ingkar arahan PKP

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 65 individu yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seramai 63 individu dikenakan kompaun, manakala dua lagi ditahan reman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 35 individu yang tidak memakai pelitup muka, lapan individu kerana premis beroperasi tanpa kebenaran, tujuh yang gagal mengamalkan penjarakan fizikal.

"Tujuh lagi keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD), empat yang gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan, tiga individu masuk ke kawasan PKPD tanpa alasan munasabah, dan seorang gagal membayar caj kuarantin.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga membuat 52,294 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,950 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan seramai 12,201 anggota membuat pemantauan di 3,380 pasar raya, 4,200 restoran serta 1,236 penjaja, 992 kilang, 3,436 bank dan 670 pejabat kerajaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, turut dipantau, sebanyak 926 terminal pengangkutan darat, 204 terminal pengangkutan air serta 149 terminal pengangkutan udara.

Beliau berkata, seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan semalam.

Katanya, turut ditahan empat penyeludup dan seorang tekong, manakala pihak berkuasa turut merampas sebuah bot serta tiga kenderaan darat.

"Sebanyak 91 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (69 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR), dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (12 SJR).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 17 operasi sanitasi dijalankan di lima negeri semalam.

Katanya, tujuh operasi sanitasi awam dijalankan di Sabah, enam di Kedah, dua di Pulau Pinang dna masing-masing satu di Pahang serta Melaka.

Beliau berkata, seramai 29 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 267 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dalam operasi berkenaan.

Sementata itu, Ismail Sabri berkata, Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan sebanyak l 930 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati semua premis yang dipantau mematuhi SOP yang ditetapkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X