Selasa, 22 September 2020 | 3:44pm
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto: BERNAMA
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Foto: BERNAMA

Sejumlah 1.93 juta rakyat di Sabah, Sarawak terima BPN RM2.1 bilion

PUTRAJAYA: Kira-kira 1.93 juta rakyat di Sabah dan Sarawak telah menerima manfaat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bernilai lebih RM2.1 bilion setakat ini, demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Bagi memanfaatkan rakyat Sabah dan Sarawak, warga Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) dan Perbendaharaan Sarawak (PMSarawak) telah turun ke pelbagai lokasi di kawasan pedalaman ini bagi memudahkan urusan penerima di kawasan berkenaan.

"Mereka menaiki bot, meredah hutan dan memanjat bukit dalam melaksanakan amanah yang diberi," katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-22 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini, hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, hampir 100,000 perniagaan di Sabah dan Sarawak termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) telah menerima manfaat bernilai RM1.4 bilion menerusi melalui saluran seperti Subsidi Upah Pekerja, Geran Khas Prihatin, serta pinjaman mikro TEKUN dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk PKS mikro.

Sementara itu, katanya, dalam siri jelajah Belanjawan 2021 di Sabah dan Sarawak baru-baru ini, penekanan kepada 'delivery service' kerajaan termasuk penambahbaikan pelaksanaan dan saluran bantuan kepada rakyat supaya lebih cepat dan berkesan.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur fizikal antara kawasan bandar dan pedalaman di kedua-dua negeri.

"Semasa Jelajah Belanjawan 2021 ini saya bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, telah menghadiri taklimat mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH) dan BPN di pedalaman dan projek Sekolah Daif Sabah oleh Jabatan Kerja Raya Sabah di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

"Saya kemudiannya ke Kuching, Sarawak, di mana saya juga telah mengadakan sesi dialog dengan wakil-wakil industri, termasuk industri minyak dan gas, komoditi-agro, pelancongan dan perniagaan untuk mendapat maklum balas bagi Belanjawan 2021," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pada Jelajah Belanjawan ke beberapa negeri dan dengan pelbagai sektor industri dalam dua bulan lalu, kerajaan mengambil maklum permintaan untuk menambah, memanjangkan atau menambahbaik beberapa langkah untuk manfaat rakyat dan perniagaan.

"Kerajaan akan memperhalusi dan mempertimbangkan cadangan dan maklum balas yang diterima. Walau apapun, kerajaan tetap prihatin dan bersedia membantu golongan yang benar-benar memerlukan sokongan," katanya.

Berita Harian X