Selasa, 22 September 2020 | 11:37am

35 laporan polis terhadap Mohamaddin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 35 laporan berhubung kenyataan Datuk Mohamaddin Ketapi yang mendakwa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata kesemua 35 laporan itu diterima PDRM dari seluruh negara sejak semalam.

"Siasatan kini dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, Mohamaddin dan beberapa individu lain akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Terdahulu, calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohamaddin Ketapi dilaporkan mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu hanya peperangan bersama 'ayam' dan 'anjing'.

Dalam satu video ucapannya yang tular di media sosial, beliau berkata, pihak berkuasa ketika itu mengerahkan segala kekuatan sedangkan peperangan tidak berlaku.

Bagaimanapun, beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tampil memohon maaf kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda mereka yang tersebar sebelum ini.

Berita Harian X