Selasa, 22 September 2020 | 9:11am
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dalam apa juga situasi dan ancaman yang cuba mengganggu gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara. - Foto BERNAMA
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dalam apa juga situasi dan ancaman yang cuba mengganggu gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara. - Foto BERNAMA

ATM tingkatkan kawalan sempadan Sabah

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dalam apa juga situasi dan ancaman yang cuba mengganggu gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara ini, tegas Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Katanya, ATM bersama agensi keselamatan dan kawalan lain, kini giat mempertingkat dan memperkukuh kawalan persempadanan maritim dan daratan bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara.

"Perkara ini dilaksanakan melalui Op Benteng dioperasikan National Task Force (NTF) dengan ATM sebagai peneraju dan dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Ini termasuk kerjasama daripada agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain sepertiAgensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas maklumat diterima PDRM mengenai kemasukan besar-besaran pendatang tanpa izin (PATI) dari negara jiran ke Sabah bertujuan membuat kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September depan.

Katanya, pembabitan dan kerjasama padu anggota dan aset semua agensi terbabit, ia diatur gerakkan secara terancang terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan proses PRN berkenaan.

"Dalam pada itu, masyarakat tempatan juga perlu menjadi 'mata dan telinga' kerana kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan semata-mata.

"Masyarakat terutamanya di Sabah digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat pencerobohan PATI dan aktiviti jenayah rentas sempadan," kata beliau lagi.

Katanya, segala aduan dan maklumat boleh disalurkan terus melalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-6251 1223.

Berita Harian X