Selasa, 22 September 2020 | 9:02am
Hishammuddin berucap pada program Ceramah Bersama Pengundi PDM Telipok di Kampung Melawa, Sepanggar, malam tadi. - Foto BERNAMA
Hishammuddin berucap pada program Ceramah Bersama Pengundi PDM Telipok di Kampung Melawa, Sepanggar, malam tadi. - Foto BERNAMA

PRN Sabah: 'Saya minta maaf kepada waris wira Lahad Datu'

KOTA KINABALU: Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memohon maaf kepada keluarga waris wira negara yang terkorban ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Ia berikutan tindakan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohamaddin Ketapi, mempersenda anggota keselamatan yang terbabit dalam pertempuran di Tanduo dengan mendakwa mereka berperang dengan ayam dan anjing.

Sebagai Menteri Pertahanan ketika insiden itu berlaku, Hishammuddin berasa perlu meminta maaf kepada waris anggota keselamatan yang terkorban kerana kenyataan calon WARISAN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Lahad Datu itu tidak bertanggungjawab.

"Saya ingin meminta maaf kepada keluarga dan waris wira kita yang terkorban di Tanduo.

"Saya tengok kenyataan beliau (Mohamaddin) tidak bertanggungjawab dan lebih baik dia tanya presiden dia sendiri apa yang berlaku di Semporna kerana ramai yang terkorban di sana.

"Kalau betul ia sandiwara biar presidennya sendiri mengesahkan sama ada ya atau tidak kerana insiden itu juga berlaku di Semporna sendiri.

"Jadi bagi pihak Mohamaddin Ketapi, saya mengambil kesempatan ini untuk meminta maaf yang amat sangat kepada keluarga dan waris mereka yang terkorban. Kalau mahu berpolitik pun kena ada had dan batasan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis ceramah bersama calon Barisan Nasional (BN) DUN Karambunai, Senator Datuk Yakub Khan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Telipok, Kampung Melawa, Sepanggar, malam tadi.

Hishammuddin mendakwa, tindakan Mohamaddin itu menunjukkan WARISAN dalam keadaan terdesak sehingga pertempuran di Tanduo turut dijadikan isu dan menyifatkannya sebagai sandiwara.

"Saya tengok mereka terdesak, sudah tiada isu lain dan bila orang mengatakan bahawa mereka membuka ruang untuk pihak tertentu datang dari luar masuk ke Sabah dan memudahkan perjalanan mereka, mereka cuba alih pandangan orang ramai kepada isu yang tak ada asas langsung.

"Ini tentunya agenda politik dan berkaitan dengan tuduhan kita tak lakukan apa-apa semasa memerintah. Saya akan keluarkan kenyataan dan kita senaraikan apa yang kita dah buat di Lahad Datu termasuk membuat kem dan mengatur gerak perkakas dan bala tentera kita ke sini.

"Lebih 10 perkara besar yang kita buat selepas insiden di Lahad Datu. Saya nak tanya kepada Ketua Menteri sendiri, 27 bulan dia memerintah apa yang dia dah buat untuk pastikan keselamatan Sabah," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin dalam ceramahnya meminta pengundi menilai sikap sebenar pemimpin WARISAN yang sanggup mempersenda anggota keselamatan, lebih-lebih lagi yang terkorban dalam perjuangan untuk memastikan Sabah selamat.

"Saya minta maaf kepada isteri dan anak anggota yang terkorban. Bayangkan ada anggota keselamatan terkorban itu dicincang, kepala dipancung dan mata dicungkil. Saya tahu sebab saya menteri yang bertanggungjawab ketika itu.

"Saya nak tanya kepada Presiden WARISAN sebab dia di Semporna, sama ada ia sandiwara atau tidak. Mahukah rakyat Sabah biarkan pemimpin sebegini," katanya.

Hishammuddin mengingatkan semua supaya isu yang boleh mengguris hati tidak lagi dibangkitkan selain tidak memutar belit fakta kerana pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu memang berlaku.

Dua anggota komando VAT69 terkorban ketika pertempuran pertama di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013, disusuli enam anggota polis yang terperangkap dalam serangan hendap pengganas di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna pada hari berikutnya.

Selain mereka, dua anggota tentera turut terkorban ketika terbabit dalam operasi mengesan dan memerangi penceroboh di sekitar Zon Labian, Lahad Datu sepanjang Ops Daulat yang bermula dengan serangan bom dari udara pada 5 Mac 2013.

Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu klip video yang tular di media sosial, antara lain memaparkan beliau berucap dengan mengatakan anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi ketenteraan di kawasan itu berperang dengan ayam dan anjing, selain menganggap insiden itu sebagai satu sandiwara.



Berita Harian X