Isnin, 21 September 2020 | 9:59pm

Versi Mandarin portal SPRM diaktif semula

PUTRAJAYA: Versi bahasa Mandarin dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan baharu diwujudkan tetapi diaktifkan semula dengan beberapa pembaharuan serta penambahbaikan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, hari ini menjelaskan versi berkenaan sudah wujud sejak 2015 dan ditutup sementara pada 2018, sebelum diaktifkan semula dengan penambahbaikan baru-baru ini bagi memastikan mesej antirasuah disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat di negara ini.

"Versi bahasa Mandarin sebelum ini tidak dikemas kini dan ditutup pada 2018. Sekarang kami aktifkan semua sebab ada pegawai yang boleh mengendalikannya… mungkin versi bahasa Tamil akan dibuat juga jika ada peruntukan yang cukup," katanya kepada Bernama berhubung reaksi pelbagai pihak mengenai versi bahasa Mandarin di portal SPRM itu.

Hari ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menerusi Ketua Pergerakan Wiranya, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif menghantar surat kepada SPRM bagi membantah penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasmi suruhanjaya itu.

Shamshun Baharin menegaskan SPRM meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam portal rasminya walaupun terdapat lain-lain bahasa sebagai pilihan.

Beliau juga menegaskan SPRM tidak pernah membelakangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sentiasa mematuhi Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

"Tidak timbul isu SPRM tidak mematuhi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana versi bahasa Melayu masih diguna pakai sebagai bahasa utama di portal rasmi SPRM," katanya.

Shamsun Baharin berkata, kepelbagaian bahasa yang digunakan adalah bertujuan untuk memastikan matlamat menyebarluaskan mesej antirasuah serta memberi kefahaman mengenai kepentingan pencegahan rasuah tercapai.

Menurutnya, risalah pencegahan rasuah juga dibuat dalam empat bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Inggeris dan Tamil khusus untuk memberi pemahaman yang lebih kepada masyarakat.

Portal SPRM versi bahasa Mandarin di https://www.sprm.gov.my/cn/
Portal SPRM versi bahasa Mandarin di https://www.sprm.gov.my/cn/

"Selagi kami meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan lain-lain bahasa sebagai pilihan, ia tidak menjadi kesalahan," katanya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya SPRM menawarkan kemudahan bahasa Mandarin di portal rasmi suruhanjaya itu dengan tujuan untuk memberi pemahaman yang lebih jelas tentang isu rasuah.

Beliau berkata, sistem keadilan di negara ini sama ada di mahkamah, balai polis atau penjara juga menawarkan kemudahan penterjemahan dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

"Kesedaran mengenai gejala rasuah adalah sangat penting untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan tidak boleh dihentikan," katanya.

SPRM baru-baru ini memaklumkan portal dalam bahasa Mandarin diaktifkan semula bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya tersebut. – BERNAMA

Berita Harian X