Isnin, 21 September 2020 | 6:36pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Luqman Hakim Zubir.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Luqman Hakim Zubir.

COVID-19: Kluster baharu di Sabah

PUTRAJAYA: Sabah kini sudah mempunyai enam kluster COVID-19 yang aktif apabila satu lagi dikesan di Tongod, Sandakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster itu dikenalpasti hasil saringan yang dijalankan di sekitar daerah Tongod, susulan saringan COVID-19 terhadap seorang petugas kesihatan yang didapati positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September lalu.

Katanya, kes berkenaan disaring sebagai rujukan ke hospital, namun ujian pengesahan COVID-19 terhadapnya beliau iaitu Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) didapati negatif.

"Saringan di sekitar daerah Tongod yang bermula pada 6 September lalu membabitkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan berkenaan. Lima kes positif COVID-19 dikenalpasti setakat ini.

"Semua kes positif iaitu kes ke-10,253 hingga ke-10,257 dalam kluster ini adalah warga tempatan. Mereka tidak bergejala dan sudah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 117 individu sudah disaring. Lima dikesan positif COVID-19; dan 112 masih menunggu keputusan.

Beliau berkata, langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan sudah dijalankan di Klinik Kesihatan Tongod.

"Semua pesakit yang mempunyai temujanji di klinik itu sudah dirujuk ke Klinik Kesihatan berdekatan. Punca jangkitan masih dalam siasatan. Perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tongod akan bermula semula setelah aktiviti nyah kuman dan proses pembersihan tamat kelak," katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan merekodkan 14 kes baharu dalam Kluster Pulau hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 29 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah 29 kes positif COVID-19, 26 adalah kalangan warga Malaysia manakala tiga adalah warga Filipina.

Beliau berkata, sebanyak 12 kes baharu dikesan dalam Kluster Selamat hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 19 kes.

Katanya, semua 19 kes positif COVID-19 dalam kluster ini membabitkan seramai 18 warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara.

"Terdapat lima kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Benteng LD pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 583 kes. Daripada jumlah 583 kes positif COVID-19, 290 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala 293 adalah warga asing

membabitkan Filipina (192 kes); dan Indonesia (101 kes).

"Kementerian Kesihatan merekodkan satu kes baharu bagi Kluster Sungai hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 74 kes. Semua 74 kes positif dalam kluster ini adalah warga tempatan. Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster ini masih diteruskan dan status terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X