Isnin, 21 September 2020 | 4:58pm
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto BERNAMA

PRN Sabah: Mohamaddin pengkhianat negara - Azmin

KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Mohamaddin Ketapi disifatkan sebagai seorang pengkhianat kerana mempersenda pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan negara ketika insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sebarang kenyataan atau ucapan seperti itu bukan saja tidak patriotik, malah berbaur hasutan dan mengkhianati negara bangsa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, perbuatan Mohamaddin itu jelas bertentangan dengan kewajipan setiap rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah.

"Justeru itu, sebarang kenyataan dan ucapan yang meremehkan kedaulatan tanah air bukan sahaja tidak patriotik bahkan berbau hasutan dan mengkhianati negara bangsa. Berpegang kepada prinsip ini, saya mengecam sekeras-kerasnya ucapan pemimpin utama WARISAN yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi.

"Perbuatannya jelas menghina jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan tanah air ketika Sabah diserang pengganas pada 2013," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Azmin juga berkata, peristiwa hitam di Tanduo, Lahad Datu itu mengakibatkan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dengan pengganas dari Filipina sehingga mengorbankan 10 anggota keselamatan.

Katanya, tindakan Mohamaddin menyifatkan pencerobohan bersenjata ke atas wilayah negara sebagai satu sandiwara adalah satu pembohongan dan hasutan untuk memecah-belahkan perpaduan dan kesatuan rakyat.

"Ucapan beliau turut mencerminkan betapa WARISAN tidak komited untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat Sabah. PN bertegas bahawa perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah adalah tanggungjawab suci setiap anak watan yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran," katanya.

Azmin berkata, ucapan Mohamaddin juga mempersenda pasukan keselamatan negara dan menghina jasa serta pengorbanan setiap anggota yang terkorban.

"Saya yakin, keluarga besar pasukan keselamatan negara khususnya mereka yang terkorban dalam pertempuran itu serta seluruh rakyat Malaysia yang patriotik tidak boleh menerima keceluparan beliau.

"PN mendesak Mohamaddin menarik balik kata-kata penghinaan itu dan segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab suci mempertahankan tanah air," katanya.

Rakyat Sabah, katanya, mesti menolak sesiapa saja yang cuba mempermain-mainkan kedaulatan dan keselamatan negara untuk tujuan politik sempit.

"Marilah kita memperkukuhkan perpaduan dan menggembleng seluruh kekuatan rakyat sekali gus menyuburkan semangat cintakan tanah air bersama-sama PN," katanya.

Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu klip video sebelum ini dikenal pasti menyebut anggota keselamatan berperang dengan ayam dan anjing ketika pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo.

Berita Harian X