Isnin, 21 September 2020 | 3:23pm
KEJADIAN kubur di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan , Derga, yang didakwa berdarah, Sabtu lalu.
KEJADIAN kubur di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan , Derga, yang didakwa berdarah, Sabtu lalu.

Siasat 'kubur berdarah'

BALING: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menyerahkan kepada polis bagi menyiasat kejadian kubur di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan , Derga, yang didakwa berdarah, Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad, berkata pihak polis sudah mengambil sampel tanah di kubur itu bagi melakukan siasatan lanjut.

"JAIK akan memberi kerjasama kepada polis bagi melakukan siasatan termasuk kemungkinan berlaku sebarang unsur jenayah dalam kejadian terbabit.

"Saya harap orang ramai berhenti menyebar rakaman video berkaitan kubur berkenaan kerana ia boleh mendatangkan aib kepada keluarga jenazah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah di Kampung Seberang Ketil, Kupang, di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kubur itu dikatakan mengeluarkan cecair berwarna merah seakan darah sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.

Berikutan itu, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan di tanah perkuburan itu, kelmarin.

Berita Harian X