Sabtu, 19 September 2020 | 9:57pm
Gambar fail Sungai Gong, Rawang, pada awal bulan ini. - NSTP/MAHZIR MAT ISA
Gambar fail Sungai Gong, Rawang, pada awal bulan ini. - NSTP/MAHZIR MAT ISA

Air Sungai Gong dikesan berwarna hitam - LUAS

SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak berhubung kejadian air Sungai Gong, Rawang, berwarna hitam pada tengah hari tadi.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berkenaan dikesan pada jam 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS.

Bagaimanapun, katanya, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil siasatan mendapati air sungai terbabit berwarna hitam tetapi tiada bau, dan ia disyaki disebabkan pewarna.

"LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA utama di bahagian hilir Sungai Selangor.

"Siasatan juga mendapati ada pelepasan efluen berwarna dan berbuih daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di kawasan Perindustrian Rawang," katanya.

LUAS turut memaklumkan, pihaknya sudah menjalankan pensampelan dan mendapati kandungan ammonia ialah sebanyak 5.2 miligram per liter (mg/l), manakala jumlah pepejal terampai (TSS) pula 47mg/I.

Katanya, pihak IWK juga memberhentikan aliran daripada pam masuk dan seterusnya menghentikan pelepasan discaj efluen.

"Siasatan dijalankan LUAS bersama pihak Air Selangor di River Monitoring Station (RMS) Country Home Rawang, mendapati sampel aliran air berwarna hitam itu menunjukkan tiada bau dan minyak dikesan tetapi ia berwarna hitam.

"Siasatan diteruskan ke Sungai Sembah, iaitu aliran sebelum masuk ke Sungai Selangor, untuk pensampelan 'in-situ' dan mendapati tiada bau serta tiada warna kehitaman.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan dilakukan LUAS bersama agensi berkaitan," katanya.

Berita Harian X