Sabtu, 19 September 2020 | 5:47pm

COVID-19: Kluster Bakau dikesan di Sabah

PUTRAJAYA: Wabak COVID-19 terus merebak di Sabah dengan satu lagi kluster baharu dikenali sebagai Kluster Bakau berjaya dikesan di Semporna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata seramai tiga individu sudah dijangkiti dalam kluster berkenaan, setakat ini.

Beliau memaklumkan, kes indeks kluster itu ialah seorang wanita warga Filipina (kes 10,145) yang juga kes kematian dilaporkan, semalam.

"Ujian saringan COVID-19 terhadap kes indeks itu didapati positif pada Rabu lalu. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan sebelum dua lagi individu dikesan positif.

"Dua kes positif itu membabitkan seorang rakyat tempatan dan seorang warga Filipina. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, pihaknya sudah melakukan ujian saringan terhadap 109 individu.

"Keputusan ujian saringan terbabit mendapati hingga kini, hanya tiga individu positif, manakala 106 lagi masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan jangkitan, termasuk proses nyah kuman dan pembersihan sudah dijalankan di Hospital Semporna. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X