X
Sabtu, 19 September 2020 | 3:26pm
Mustapa ketika berucap pada Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Mustapa ketika berucap pada Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Basmi kemiskinan ikut keperluan setempat

KOTA KINABALU: Usaha membasmi kemiskinan khususnya di Sabah akan dilaksanakan mengikut pendekatan baharu yang lebih bersasar dengan melihat kepada keperluan setempat sesuatu daerah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pendekatan itu akan digunakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bermula tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan akan menilai program pembasmian kemiskinan yang sesuai berdasarkan kajian yang dijalankan bagi memastikan ia benar-benar berkesan untuk membantu menurunkan kadar kemiskinan.

"Strategi membasmi kemiskinan akan dimasukkan dalam RMKe-12 dan kita akan tumpukan mengikut tempat.

"Contohnya, kita akan lihat di Kudat, Beaufort, Pulau Gaya dan tempat lain apa program kemiskinan yang boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Libat Urus Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) sempena Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, hari ini.

Mustapa (tengah) bergambar bersama ahli panel selepas Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Mustapa (tengah) bergambar bersama ahli panel selepas Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Katanya, isu kemiskinan sentiasa berlaku selaras perubahan semasa disebabkan pelbagai faktor termasuk akibat kemerosotan sesuatu industri yang menyebabkan ramai orang hilang pendapatan tetap dan terpaksa mencari kerja lain.

"Contohnya di Sarawak, saya ada bercakap dengan kumpulan kecil di sana yang mana hidup mereka dulu senang kerana ada aktiviti pembalakan.

"Apabila aktiviti itu merosot, mereka terpaksa berhijrah ke bandar untuk cari kerja tapi tidak tetap, gaji hari.

"Apabila orang yang kerja di sesuatu industri itu terjejas, maka mereka mudah jatuh miskin dan begitu juga sebaliknya," katanya.

Mustapa turut memberi contoh, kawasan yang satu ketika dulu pernah dikenal pasti ramai penduduk miskin berubah apabila dimajukan dengan aktiviti ekonomi yang mampu menyediakan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan masyarakat setempat.

Katanya, penduduk di Langkawi, Kedah satu ketika dulu ramai yang miskin dengan kebanyakannya menjadi nelayan tetapi berubah selepas dijadikan pulau bebas cukai dan menjadi tumpuan pelancong.

Beliau menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk mencari jalan menyelesaikan isu kemiskinan di negara ini kerana ia menjadi petunjuk kejayaan atau kegagalan sesebuah pentadbiran.

"Kemiskinan ada di mana-mana negara tapi kalau dibiarkan semakin ramai orang yang miskin ia menunjukkan kita gagal, dasar kerajaan kurang berkesan menangani kemiskinan.

"Kadar kemiskinan selalunya adalah antara perkara yang dinilai sama ada sesebuah kerajaan itu berjaya atau tidak," katanya.

Terdahulu, Pensyarah Kanan Program Sosiologi dan Antropologi Sosial, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Jalihah Md Shah, berkata pertindihan antara agensi yang terbabit dalam membasmi kemiskinan antara punca usaha ke arah menyelesaikan masalah itu tidak berkesan.

Pada masa sama, katanya, ada bantuan kepada golongan miskin tidak sampai seperti yang diharapkan disebabkan kegagalan agensi memantau kontraktor yang melaksanakan program berkenaan.

"Contohnya, bantuan anak ayam atau itik kepada golongan sasar, sepatutnya ada 100 ekor diserahkan kepada penerima tetapi yang sampai hanya 70 ekor.

"Ini juga boleh menjejaskan usaha kita membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata, agensi pelaksana juga perlu meningkatkan kerjasama dengan pihak universiti atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu melaksanakan program pembasmian kemiskinan kerana ia mempunyai pakar dan pengalaman yang diperlukan.

Berita Harian X