Khamis, 17 September 2020 | 6:14pm

8 kes baharu Kluster Benteng LD, Kluster Sungai

PUTRAJAYA: Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dan Kluster Sungai mencatatkan peningkatan lapan kes positif COVID-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua jangkitan baharu dilaporkan dalam Kluster Benteng LD, sekali gus menjadikan jumlah kes positif dalam kluster itu mencecah 474.

Beliau berkata, satu daripada kes baharu itu dikesan hasil ujian saringan dijalankan di Lahad Datu, manakala satu lagi melalui saringan di Tawau.

"Seramai 1,388 banduan dan tahanan sudah menjalani saringan dengan 430 kes dikesan positif COVID-19.

"Saringan juga dijalankan terhadap 1,158 kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau dengan 11 kes dikesan positif.

"Saringan dijalankan terhadap 1,386 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan pula mengesan 10 kes positif, manakala 23 lagi kes positif dikesan melalui saringan ke atas 2,744 kontak sosial," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan, saringan terhadap 994 pegawai agensi kerajaan lain bagaimanapun mendapati tiada yang positif COVID-19, setakat ini.

Daripada 474 kes positif dalam Kluster Benteng LD, beliau berkata, 215 membabitkan rakyat Malaysia, sementara 259 lagi bukan warganegara meliputi 168 warga Filipina dan 91 warga Indonesia.

"Bagi Kluster Sungai pula, enam jangkitan baharu dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster itu mencecah 65.

"Enam kes baharu itu dikesan selepas saringan dijalankan terhadap 22,153 individu di Kedah.

"Jumlah saringan bagi Kluster Sungai termasuk 1,148 petugas kesihatan dengan 26 daripada mereka dikesan positif COVID-19," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X