Khamis, 17 September 2020 | 3:13pm
Antara PATI dan tekong yang ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di pesisir pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. - Foto hiasan
Antara PATI dan tekong yang ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di pesisir pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. - Foto hiasan

65 PATI ditahan dalam Operasi Benteng semalam

PUTRAJAYA: Seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga penyeludup dan tiga tekong ditahan manakala 10 kenderaan darat yang digunakan turut dirampas dalam Operasi Benteng semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 27 PATI atas kesalahan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menahan seorang lelaki warga tempatan di Rantau Panjang, Kelantan, kerana terbabit aktiviti penyeludupan.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 81 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam, membabitkan PDRM (59 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR), dan ATM (12 SJR).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X