Rabu, 16 September 2020 | 11:06am
Pegawai KPDNHEP memeriksa minyak pelincir tiruan di sebuah gudang di Taman Industri, Subang Jaya, semalam. - NSTP/Ihsan KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP memeriksa minyak pelincir tiruan di sebuah gudang di Taman Industri, Subang Jaya, semalam. - NSTP/Ihsan KPDNHEP

10,040 liter minyak pelincir tiruan dirampas

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai jenis minyak pelincir tiruan dan peralatan menghasilkan tanda cap dagangan tiruan berjenama Shell, dianggarkan bernilai RM111,300 dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Industri, Subang Jaya, semalam.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata operasi membabitkan sembilan Pegawai Penguat kuasa dari ibu pejabat itu dilakukan hasil aduan wakil pemilik cap dagang berdaftar, Shell dan risikan hampir dua bulan bagi mengenal pasti lokasi pembuatan bahan berkenaan.

Pegawai KPDNHEP memeriksa minyak pelincir tiruan di sebuah gudang di Taman Industri, Subang Jaya, semalam. - NSTP/Ihsan KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP memeriksa minyak pelincir tiruan di sebuah gudang di Taman Industri, Subang Jaya, semalam. - NSTP/Ihsan KPDNHEP

Iskandar berkata, hasil pemeriksaan bersama wakil pemilik cap dagang itu mendapati terdapat pelbagai jenis minyak pelincir seperti Transformer Oil, Compressor Oil, Truck & Heavy Duty Engine Oil, Greese, dan Slideways Oils untuk kegunaan kenderaan berat, dianggarkan berjumlah 10,040 liter di gudang itu.

"Pemilik premis disyaki membuat atau memiliki suatu artikel salinan cap dagangan berdaftar atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap dagangan berdaftar berkenaan.

"Selain itu, terdapat set komputer yang disambungkan dengan pencetak, disyaki digunakan untuk menghasilkan tanda cap dagangan berdaftar berkenaan. Label dan penutup tong cap dagang Shell juga dijumpai.

"Semua barang itu berserta dokumen berkaitan disita dan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 53 tahun yang berada di tempat kejadian turut ditahan serta direman untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iskandar memaklumkan, berdasarkan keterangan lisan oleh pengurus premis, minyak pelincir daripada tong drum berkapasiti 200 liter dipindahkan secara manual ke dalam tong berkapasiti 20 liter bagi tujuan pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang, yang dijual dalam lingkungan harga RM185 hingga RM240.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu membuat atau memiliki suatu artikel yang direka secara spesifik untuk membuat salinan cap dagangan berdaftar atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa artikel itu akan digunakan untuk melakukan suatu kesalahan, yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 5(a) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan suatu perihal dagangan palsu bagi apa-apa barang, yang mana sabit kesalahan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan, boleh didenda tidak lebih RM250,000, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak lebih RM500,000.

"Pemeriksaan dan operasi di seluruh negara ini akan dijalankan secara berterusan ke atas aktiviti yang menjalankan urus niaga barang tiruan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan ini boleh melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri di mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran," katanya.

Berita Harian X