Isnin, 14 September 2020 | 2:55pm

71 PATI, 3 tekong ditahan dalam Op Benteng

PUTRAJAYA: Op Benteng yang dijalankan semalam, berjaya menahan seramai 71 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga tekong dan seorang penyeludup.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan seramai 10 PATI ditahan di Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sebanyak 79 sekatan jalan raya (SJR) Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam membabitkan 57 yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10) dan ATM (12)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 28,508 individu pulang ke tanah air dari 32 negara, melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 73 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,359 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 18,080 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X