Ahad, 13 September 2020 | 3:52pm
PEMAKAIAN pelitup muka antara SOP wajib yang menjadi norma baru petugas filem ketika melakukan aktiviti pengembaraan filem di lokasi.
PEMAKAIAN pelitup muka antara SOP wajib yang menjadi norma baru petugas filem ketika melakukan aktiviti pengembaraan filem di lokasi.

Bukan susah patuh SOP

KUALA LUMPUR: Sesi penggambaran ketika norma baharu bukan sahaja dapat dipatuhi dengan baik tetapi turut mendidik syarikat produksi termasuk pelakon, pengarah dan kru menjadi lebih berdisiplin daripada setiap sudut.

Perubahan dapat dilihat menerusi sikap warga produksi yang kini lebih berjaga-jaga dalam soal kebersihan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Antaranya, syarikat produksi perlu menyediakan protokol di tempat kerja yang meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan mengikut SOP ditetapkan.

Warga produksi yang terbabit dalam penggambaran juga harus mengemukakan rekod perjalanan bagi tempoh empat minggu, sebelum tarikh penggambaran.

Hal logistik juga perlu diambil perhatian seperti pemilihan zon lokasi, penggunaan pakaian, khidmat pengangkutan, kaedah penyediaan makanan, pemakaian pelitup muka, proses nyah kuman, sanitasi alatan teknikal dan sebagainya harus dirancang dengan bijaksana.

Pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin, berkata warga produksi kini lebih peka dalam soal menjaga kebersihan dan keselamatan diri.

Lukisan ‘fronliner’ berpelukan pernah tular diterjemahkan semula dalam bentuk lukisan hasil sentuhan Zarini Junita, antara dipamerkan dalam pameran komuniti Artgeng di Yayasan Warisan Johor (YWJ).- Foto/Omar Ahmad
Lukisan ‘fronliner’ berpelukan pernah tular diterjemahkan semula dalam bentuk lukisan hasil sentuhan Zarini Junita, antara dipamerkan dalam pameran komuniti Artgeng di Yayasan Warisan Johor (YWJ).- Foto/Omar Ahmad

"Awal dahulu mungkin agak kekok memakai pelitup muka dan membuat pemeriksaan suhu badan, tetapi kini tidak lagi. Malah, kekerapan mencuci tangan serta penjarakan fizikal sudah menjadi rutin.

"Sebelum ini, mereka sering bertepuk tampar atau bersin sesuka hati di set penggambaran, kini situasi ini tidak lagi berlaku. Pelakon pun lebih selesa duduk dalam kereta jika tidak ada babak membabitkan mereka. Selain itu, pembaziran dapat dielakkan apabila produksi tidak lagi menyediakan makanan secara bufet," katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Shahrulezad mengakui dalam menyesuaikan suasana norma baharu beberapa cabaran dihadapi pihak produksi, termasuk kerja penggambaran menjadi lambat, kesukaran mencari lokasi dan kekurangan pelakon.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangat anak seni untuk menghasilkan karya bermutu dan terus mengamalkan SOP.

Bagi pelakon, Shukri Yahaya, penggambaran dengan SOP yang diwujudkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak membebankannya.

Sebaliknya, katanya, ia memberikan lebih kepercayaan untuk bekerja, apatah lagi penularan COVID-19 sukar untuk dilihat dengan mata kasar.

"Kami perlu memastikan sentiasa mematuhi SOP manakala pengarah juga lebih teliti, contohnya menerusi babak makan kami tidak boleh berkongsi sudu dan sebagainya," katanya.

Pelakon yang baru menyambut kelahiran anak kedua itu berkata, setiap kali pulang dari lokasi penggambaran, beliau akan membersihkan diri terlebih dahulu sebelum mendekati anak dan isteri.

Sementara itu, penerbit drama, Siti Rosmizah Semail, berkata biarpun memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri, tiada masalah mematuhi SOP daripada terpaksa menanggung risiko sekiranya wabak COVID-19 menular dalam kalangan kru dan pelakon.

"Kami terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman di lokasi penggambaran, tetapi ia lebih baik tidak mengingkari arahan kerajaan daripada mengancam nyawa pekerja disebabkan kedegilan sendiri.

"Ini soal kesihatan, sama ada suka atau tidak, saya sentiasa mengingatkan semua kru dan pelakon supaya mematuhi arahan kerajaan. Ini juga membabitkan soal nyawa, saya tidak mahu disebabkan kedegilan seorang, nyawa orang lain terancam," kata Siti Rosmizah.

Pelakon, pengacara dan penyanyi, Janna Nick juga tidak menganggap norma baharu sebagai satu bebanan.

Janna berkata, pelakon dan kru wajib memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan memeriksa suhu badan.

"Diakui, mulanya agak janggal apabila terpaksa mematuhi SOP. Bagaimanapun, lama kelamaan sudah terbiasa dengan normal baharu.

"Dari sudut positif, saya lihat kebanyakan pelakon menjadi lebih fokus. Tidak lagi berbual kosong seperti sebelum ini, sebaliknya memberikan tumpuan pada kerja sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X