Ahad, 13 September 2020 | 2:48pm
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

80 PATI ditahan semalam

PUTRAJAYA: Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara semalam berjaya menahan seramai 80 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka termasuk 20 orang di Sungai Nipah Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, yang ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Semalam, Operasi Benteng berjaya melakukan tangkapan membabitkan 80 PATI, enam penyeludup dan seorang tekong.

"Sebanyak 82 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu 57 SJR, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) 10 SJR, dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 15 SJR," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 28,063 individu pulang ke

tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

Katanya, seramai 17,807 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang, setakat semalam.

Berita Harian X