Sabtu, 12 September 2020 | 6:28pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA

COVID-19: Kluster baharu dikesan di Kunak, Sabah

KUALA LUMPUR: Satu kluster baharu dikesan dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Kunak, Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster baharu yang dirujuk sebagai Kluster Laut itu membabitkan kes indeks iaitu kes ke-9,859 membabitkan seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang sudah dihantar pulang ke negara asal iaitu Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

"Bagaimanapun, pada 5 September lalu, kes menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga, Filipina melalui jalan tikus untuk melawat isterinya.

"Isterinya (kes ke-9,860) dikesan positif COVID-19 pada 8 September lalu ketika menjalani saringan yang dirujuk dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

"Beliau didapati mula bergejala pada 6 September lalu.

"Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif COVID-19 dikesan, iaitu anak dan jiran kes indeks (kes ke-9861 dan kes ke-9862)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, seramai 49 individu sudah disaring dalam kluster berkenaan yang semuanya membabitkan warga Filipina.

"Daripada jumlah itu, empat kes dikesan positif, 14 orang negatif dan 31 lagi sedang menunggu keputusan," katanya.

Katanya, langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sudah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti.

"Punca jangkitan masih di dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X