Sabtu, 12 September 2020 | 12:54pm
Pelawat ke Langkawi menerusi jeti Kuala Perlis, merosot mendadak susulan pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di kawasan Kota Setar
Pelawat ke Langkawi menerusi jeti Kuala Perlis, merosot mendadak susulan pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di kawasan Kota Setar

Pelawat ke Langkawi merosot lebih 50 peratus

KANGAR: Jumlah pengunjung ke Langkawi menerusi Terminal Feri Kuala Perlis, menurun lebih 50 peratus, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar bermula semalam.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata meskipun pengunjung yang tidak boleh menaiki feri di Jeti Kuala Kedah akibat PKPD, mereka masih boleh meneruskan perjalanan melalui Kuala Perlis.

Beliau berkata, jumlahnya menurun dan pihaknya menjangkakan jumlah kemasukan pengunjung ke Langkawi sehingga 25 September ini merosot.

"Jumlah keseluruhan pengunjung yang memasuki Langkawi sehingga semalam, hanya mencatatkan seramai 2,736 orang berbanding seramai 5,700 orang pada hari kebiasaan.

"Meskipun hari ini adalah hari minggu, namun sehingga tengahari tadi, hanya seramai 2,085 orang yang menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi berbanding sebelum ini mencatatkan jumlah berkali ganda," katanya ketika dihubungi.

Baharin berkata, ada pengunjung membatalkan perjalanan pada saat akhir, selain ada sebahagiannya menukar tarikh perjalanan.

"Menurut rekod kami, ada pengunjung menunda perjalanan pada Mac tahun hadapan dan berkemungkinan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi mengalami sedikit penurunan sepanjang TEMCO di Kota Setar," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Kuala Perlis sehingga jam 12 tengahari tadi mendapati suasana perkarangan terminal terkawal dan sedikit lengang.

Selain itu, pengunjung juga tidak dibenarkan berada di dalam ruangan menunggu sehingga 40 minit sebelum perjalanan feri bermula.

Berita Harian X