Rabu, 9 September 2020 | 8:59pm

CAREton kutip pek minuman terpakai hasilkan atap genting

KLANG: MILO® UHT menerusi Projek CAREton dengan kerjasama pasar raya 99 Speedmart mensasarkan kutipan 400,000 pek minuman terpakai untuk dikitar semula menjelang akhir 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, kerjasama berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk meluaskan capaian projek itu.

"Projek CAREton yang dilancarkan pada 2012 adalah usaha sama antara MILO® UHT dan Tetra Pak untuk mengumpulkan pek minuman terpakai untuk dikitar semula menjadi atap genting poli aluminium (PolyAl) dan papan panel mesra alam untuk masyarakat.

"Pada tahun ini, fasa perintis akan bermula di 100 kedai 99 Speedmart di Lembah Klang, di mana peti kitar semula CAREton ditempatkan di setiap lokasi untuk digunakan oleh masyarakat setempat dan pelanggan 99 Speedmart," katanya kepada media di majlis pelancaran kerjasama secara rasmi MILO® UHT, Nestle dan 99 Speedmart menerusi Projek CAREton di Ibu Pejabat 99 Speedmart di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengarah Urusan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah.

Aranols berkata, usaha mencapai masa depan tanpa sisa buangan perlu diperluas dan Projek CAREton jelas mempamerkan kerjasama yang membawa kepada pencapaian itu.

"Kami sudah berjaya mengumpulkan lebih 95 juta pek minuman terpakai yang membantu membina atap genting kepada lebih 250 buah rumah dalam program ini.

"Cara kitar semula mudah sahaja, iaitu tolak penyeduk minuman ke dalam pek, flip, flap, flat (buka kelepak dan leperkan) dan masukkannya ke dalam mana-mana peti kitar semula CAREton.

"Dengan sokongan 99 Speedmart, rangkaian tempat kutipan akan diperluaskan malah kami akan terus memacu agenda kitar semula untuk membina masa depan yang lebih lestari," katanya.

Beliau berkata, pengguna boleh memasukkan apa sahaja pek minuman terpakai ke dalam peti kitar semula CAREton yang terletak di kedai 99 Speedmart terpilih.

"Bagi mendapatkan lokasi terdekat peti kitar semula CAREton, orang ramai boleh melayari laman web http://recycle- easy.com.my. Untuk mereka yang berminat untuk menjadi rakan kutipan CAREton, butiran lanjut juga boleh didapati di laman web ini. Maklumat lanjut Projek CAREton boleh layari https://www.milo.com.my /careton-project," katanya.

Sementara itu, Thiam Wah berkata, pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan MILO® UHT, Nestle dan menjadi sebahagian daripada Projek CAREton.

"Kerjasama ini memberi peluang kepada kami untuk menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan pelanggan kami. Kami berharap usaha ini akan menggalakkan masyarakat untuk mula mengitar semula pek minuman mereka dalam peti kitar semula CAREton yang akan diletakkan di tempat yang mudah ditujui di hadapan gedung 99 Speedmart terpilih," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols (duduk kanan) dan Pengasas dan Pengarah Urusan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah (duduk kiri) menunjukkan atap genting yang dikitar semula daripada pek minuman terpakai pada Majlis Pelancaran Kerjasama MILO UHT dan 99 Speedmart menerusi Projek CAREton di Ibu Pejabat 99 Speedmart, Klang. - Foto Faiz Anuar
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols (duduk kanan) dan Pengasas dan Pengarah Urusan 99 Speedmart, Lee Thiam Wah (duduk kiri) menunjukkan atap genting yang dikitar semula daripada pek minuman terpakai pada Majlis Pelancaran Kerjasama MILO UHT dan 99 Speedmart menerusi Projek CAREton di Ibu Pejabat 99 Speedmart, Klang. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X