Rabu, 9 September 2020 | 2:58pm
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

PATI, tekong ditahan dalam Ops Benteng

PUTRAJAYA: Lima tekong dan 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) antara 66 individu yang ditahan dalam Operasi Benteng yang dilaksanakan semalam di seluruh negara.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka ditahan melalui 24 tangkapan yang dilaksanakan semalam.

Beliau berkata, 26 PATI ditahan di Bandar Penawar, Johor manakala lima tekong itu ditangkap di beberapa lokasi di seluruh negara.

"Di Bukit Kayu Hitam, Kedah pula 12 PATI berjaya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sebanyak 72 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam, membabitkan PDRM (58 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR), dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (empat SJR).

"Pihak PDRM melalui SJR Ops Benteng memeriksa sebanyak 24,972 kenderaan dan berjaya melakukan 11 tangkapan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan pemeriksaan di 12 tapak binaan di seluruh Malaysia dan mendapati semuanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 25,688 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Katanya, mereka ditempatkan di 70 hotel dan lapan Institut Latihan Awam (ILA), serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Daripada jumlah itu, seramai 10,390 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 68 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 15,230 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Berita Harian X