Selasa, 8 September 2020 | 4:25pm
Wan Junaidi merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Berhad (Dalam Penubuhan), hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Wan Junaidi merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Berhad (Dalam Penubuhan), hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kajian pembangunan super drone tak dihentikan

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menghentikan kajian terhadap pembangunan 'super drone' yang kini berada bawah tanggungjawab Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang 'super drone' dan perlu mendalami ilmu teknologi berkenaan.

Menerusi teknologi 'super drone' ia secara tidak langsung membolehkan Malaysia mewujudkan 'drone' yang boleh membawa penumpang.

"Kita tak hentikan (kajian), dan kajian itu masih dibuat oleh pihak berkenaan. Mungkin bawah MOSTI tapi bukan bawah kementerian kita (MEDAC).

"Ia bukan kereta terbang, tapi istilah kereta terbang itu digunakan secara meluas oleh pihak antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat.

"Mereka hanya menggunakan istilah kereta terbang namun sebenarnya ia adalah teknologi 'super drone'," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Berhad (Dalam Penubuhan), hari ini.

Ditanya mengenai kenyataannya di Parlimen bahawa 'super drone' bukan satu keutamaan, Wan Junaidi berkata kenyataan itu dikaitkan ketika pandemik COVID-19 yang kini sedang melanda seluruh negara.

"Saya bukan kata tiada keutamaan, saya kata masa COVID-19 (pembangunan super drone) bukan satu keutamaan besar dan kita hanya lihat dari sudut ekonomi konvensional," katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, keutamaan MEDAC kini bukan projek 'drone atau super drone', tetapi memberi perhatian khusus kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, mikro dan koperasi yang terjejas akibat pandemik COVID-19, selain mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030.

Berita Harian X