Selasa, 8 September 2020 | 2:45pm
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto BERNAMA

Op Benteng: 25 PATI ditahan

PUTRAJAYA: Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesemua mereka ditahan melalui 14 tangkapan yang dijalankan pihak berkuasa.

"Semalam, Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan membabitkan 25 PATI dan seorang penyeludup.

"Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng juga dilaksanakan semalam membabit Polis Diraja Malaysia (PDRM) (65), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10)

dan empat yang dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM turut menahan 72 individu kerana melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, 70 individu dikenakan kompaun, manakala seorang ditahan reman dan seorang lagi dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (24), penjarakan fizikal (26), tidak memakai pelitup muka (20) manakala seorang individu lari dari pusat kuarantin serta seorang dikenakan tindakan kerana premis beroperasi lebih masa.

"Sebanyak 3,031 pasukan pematuhan dengan kekuatan 12,118 anggota membuat pemantauan di 3,933 pasar raya, 4,659 restoran serta 1,398 penjaja, 1,192 kilang, 3,737 bank dan 1,013 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau 1,133 terminal pengangkutan darat, 213 terminal pengangkutan air serta 109 terminal pengangkutan udara," katanya.

Berita Harian X