Isnin, 7 September 2020 | 3:16pm
ISMAIL Sabri Yaakob.- Foto/Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob.- Foto/Bernama

580 individu ditahan terbabit aktiviti pub, kelab malam

PUTRAJAYA: Seramai 580 daripada 873 individu ditahan semalam selepas didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana terbabit dalam aktiviti dalam pub dan kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 118 individu ditahan kerana gagal mengamalkan penjarakan fizikal; 52 lagi tidak memakai pelitup muka dan 52 individu dikenakan tindakan kerana premis beroperasi melebihi masa.

Beliau berkata, 39 individu adalah pendatang asing tanpa izin (PATI), 22 individu gagal menyediakan peralatan dan merekodkan butiran pelanggan, tujuh individu ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran, langgar perintah kuarantin (dua individu) dan menghalang penjawat awam (seorang).

"Semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 873 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 797 individu dikompaun, 71 direman manakala lima individu dijamin.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat sebanyak 58,147 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,770 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan seramai 12,255 anggota membuat pemantauan di 4,099 pasar raya; 4,936 restoran serta 1,419 penjaja; 1,040 kilang; 3,719 bank dan 742 pejabat kerajaan." katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, turut dipantau, sebanyak 1,086 terminal pengangkutan darat, 218 terminal pengangkutan air serta 113 terminal pengangkutan udara.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 14 tangkapan dibuat melalui Operasi Benteng semalam, membabitkan 30 PATI dan empat penyeludup.

Katanya, operasi itu turut membuat rampasan terhadap 12 kenderaan darat.

"Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang membabitkan PDRM (65 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (10 SJR), dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (empat)," katanya.

Berita Harian X