Ahad, 6 September 2020 | 8:44pm
Sesi libat urus bagi dapatkan maklum balas penyediaan Belanjawan 2021 bersama Tengku Zafrul, hari ini di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu, bersama penggiat industri pelancongan serta minyak, gas dan petrokimia (OGP).
Sesi libat urus bagi dapatkan maklum balas penyediaan Belanjawan 2021 bersama Tengku Zafrul, hari ini di Kampung Budaya, Muzium Negeri Terengganu, bersama penggiat industri pelancongan serta minyak, gas dan petrokimia (OGP).

ECERDC saran tumpu pembangunan pelbagai aspek, pacu semula ekonomi

KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merangkumi industri sektor pelancongan, minyak, gas dan petrokimia (OGP) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 menyarankan kerajaan menumpukan pembangunan dalam pelbagai aspek bagi memacu semula ekonomi di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Baidzawi Che Mat, berkata pelancongan umpamanya antara pemacu ekonomi terpenting di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang menarik pelaburan swasta sebanyak RM21.5 bilion dari 2007 hingga 2019.

Katanya, bagi mengembangkan sektor ini secara strategik dan mampan, ECERDC mencipta destinasi untuk meningkatkan kehadiran pelancong dan membuka lebih banyak peluang penduduk tempatan terbabit dalam industri pelancongan melalui peluang keusahawanan dan pekerjaan.

"Pulau kini berhadapan dengan cabaran daripada segi infrastruktur dan ancaman terhadap biodiversiti marin, justeru pembangunan dan peningkatan infrastruktur sokongan seperti jeti, laluan pejalan kaki, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal akan membantu memelihara aset semula jadi lokasi itu, sekali gus memacu industri pelancongan.

"Ini sangat penting kerana pelancongan domestik ke pulau ini dijangka akan meningkat pasca pandemik COVID-19.

"Justeru, langkah lain termasuk peningkatan kemudahan pelancongan serta insentif kepada perniagaan tempatan perlu dipertimbangkan secara serius dan dilaksanakan untuk menarik lebih ramai pelancong," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menghadiri sesi libat urus bersama penggiat industri sektor pelancongan dan OGP di Terengganu untuk mendapatkan maklum balas dalam penyediaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen.

Ia bertujuan berkongsi idea, meneroka strategi dan membincangkan peruntukan insentif kepada perniagaan tempatan serta pembangunan infrastruktur diperlukan untuk memastikan kelestarian pulau serta memajukan pelancongan Seni, Budaya dan Warisan di Terengganu.

Baidzawi berkata, OGP juga antara sektor penting yang menyumbang 34.3 peratus (RM12.3 bilion) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu.

Katanya, industri OGP di Terengganu semakin matang dan untuk ke tahap seterusnya, ECERDC mengusulkan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan.

"Antaranya termasuk mencadangkan sektor huluan sebagai sebahagian daripada aktiviti ECER yang dipertimbangkan untuk insentif serta meningkatkan dan menambah penyertaan syarikat tempatan dalam program vendor.

"ECERDC juga mencadangkan bidang fokus baharu, terutama bahan kimia khusus untuk mendorong pertumbuhan dan menarik pelaburan hiliran bernilai tambah yang tinggi.

"Kerjasama adalah kunci bagi membuka potensi Wilayah ini. Kami yakin bahawa maklum balas diperoleh daripada sesi dialog hari ini adalah bermanfaat dalam penyediaan Belanjawan 2021," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, maklum balas dan input daripada penggiat industri adalah sangat bernilai dalam penyediaan Belanjawan 2021.

"Input diberikan adalah relevan bagi pembangunan dan pertumbuhan sektor-sektor ini wilayah ECER," katanya.

Berita Harian X