Ahad, 6 September 2020 | 1:21pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin (kanan) bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor (tengah) pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat di Wisma Darulaman, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin (kanan) bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor (tengah) pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat di Wisma Darulaman, hari ini. - Foto BERNAMA

KPKT usulkan akta lebih tegas, hukum pencemar ekosistem

ALOR SETAR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji kelompongan undang-undang agar pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan terhadap pengilang menyebabkan pencemaran ekosistem alam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya akan mencadangkan agar satu usul menggubal undang-undang lebih tegas dapat diambil terhadap pengilang mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"KPKT maklum ada kelompongan dalam undang-undang itu dan kita memang dalam persediaan rang undang-undang untuk penguatkuasaan lebih tegas dikenakan kepada pengilang seperti ini (menjadi punca pencemaran air).

"Pada masa sekarang hanya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengilang melakukan pencemaran. Kami hanya mengeluarkan lesen dan mengutip cukai kepada premis perniagaan dan pengilang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Zuraida berkata, perkara itu perlu diketengahkan berikutan isu pencemaran sungai dari kilang sering berulang di Selangor.

Justeru katanya, kerajaan negeri mesti mengambil serius mengenai kejadian ini, selain memerlukan penyelesaian holistik sama ada di peringkat pengutkuasaan dan peringkat operasi kilang.

"Banyak kilang beroperasi di Selangor, ia seperti menjadi satu 'fiesta' pula membabitkan masalah air di negeri itu. Ia menyusahkan rakyat di negeri yang terpaksa mengangkut air naik turun tangga dan sebagainya.

"Gangguan bekalan air di Lembah Klang itu turut membabitkan penduduk di kira-kira 5,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang I dan Lembah Subang II," katanya.

Berita Harian X