Jumaat, 4 September 2020 | 10:00pm
ORANG ramai mendapatkan bekalan air berikutan pencemaran air di Lembah Klang. - Foto/NSTP
ORANG ramai mendapatkan bekalan air berikutan pencemaran air di Lembah Klang. - Foto/NSTP

4 LRA belum beroperasi, bacaan masih 1 TON

KUALA LUMPUR: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang belum beroperasi semula, setakat jam 8.30 malam tadi, kerana ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk masih mengesan pencemaran pada tahap 1 TON (ukuran kadar bau).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri, berkata keempat-empat LRA itu hanya boleh beroperasi apabila pencemaran berada pada tahap sifar TON.

"Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini.

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

"Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya dalam kenyataan hari ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, semalam dilaporkan, berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan, selain menemui bau seakan-akan pelarut yang mengalir ke sungai.

Kilang berkenaan yang pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini, tetapi masih mengulangi kesalahan sama kini ditutup, sementara menunggu keputusan siasatan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa oleh LUAS bersama agensi berkaitan.

Rentetan insiden pencemaran itu, tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat LRA negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi semalam manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Berita Harian X