Jumaat, 4 September 2020 | 2:46pm

Alihkan premis industri pinggir sungai

KUALA SELANGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air akan berunding dengan kerajaan negeri untuk memindahkan premis industri berhampiran kawasan aliran sungai, bagi mengelak isu pencemaran air berulang.

Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata kuasa memindahkan premis industri tertakluk di bawah bidang kerajaan negeri.

Selain itu, katanya, kementerian sedang menyediakan rang undang-undang (RUU) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada sidang akan datang.

"Ini bagi meminda hukuman denda jika sabit kesalahan kepada kadar lebih tinggi. Kita juga mahu memastikan mereka yang disabit kesalahan mencemarkan sungai, mendapat hukuman sewajarnya.

"Bukan sahaja mencemarkan sungai tetapi individu atau premis menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup (akibat pencemaran) juga akan disabitkan kesalahan.

"Setakat ini, perkara berkenaan tidak termaktub dalam perundangan sedia ada," katanya pada sidang media selepas lawatan dekat Ijok di sini, hari ini.

Lawatan itu susulan pencemaran bau di Sungai Gong, Batu Arang yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di Lembah Klang dan Selangor, sejak semalam.

Kejadian itu disyaki berpunca dari premis stor simpanan jentera, dikatakan beroperasi secara haram yang membuang minyak ke dalam sungai berkenaan.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar.

Rentetan kejadian itu, Zaini berkata, pegawai pendakwa setiap agensi berkaitan, termasuk SPAN, JAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membuka kertas siasatan berasingan, Isnin ini, sebelum pertuduhan bagi kes itu dibuat.

"Tindakan seumpama ini (membuka kertas siasatan berasingan mengikut agensi berkaitan) pertama kali dilakukan kerana sebelum ini, pertuduhan ke atas suspek hanya dikendalikan satu agensi sahaja.

"Kita serius mahu menangani isu pencemaran ini dan mahu pelaku dikenakan hukuman setimpal dengan tindakannya.

"Kerja pemulihan tapak mengandungi bahan cemar akan dilaksanakan mulai hari ini, bagi memastikan tiada bahan pencemaran masih bertompok di tebing dan aliran sungai dengan kos akan ditanggung sepenuhnya pihak penyebab kejadian ini," katanya.

Mengenai premis dikatakan punca kejadian pencemaran bau itu, Zaini berkata, tempat itu sudah disita dan digantung operasi selama dua minggu, mulai semalam.

Katanya, sampel bahan bukti juga sudah diperolehi untuk dianalisis, selain pihak berkuasa menunggu hasil analisis bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, tindakan perundangan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan diambil, jika bahan pencemar dapat disahkan.

"Kementerian sangat prihatin dengan masalah dihadapi rakyat akibat loji yang dihenti tugas dan berharap perkara ini diatasi secepat mungkin.

"Semua pihak diminta untuk bersama-sama menjadikan Malaysia sebagai negara bersih dan bebas daripada pencemaran.

"Kita bertangggungjawab menjaga sumber air agar tidak disalah guna hingga menyebabkan pencemaran yang menyusahkan orang ramai dan menjejaskan aktiviti pembangunan negara," katanya.

Zaini (tengah) melihat tempat disyaki punca pencemaran bau air di Sungai Selangor, hari ini. - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA
Zaini (tengah) melihat tempat disyaki punca pencemaran bau air di Sungai Selangor, hari ini. - Foto NSTP/MAHZIR MAT ISA
Berita Harian X