Jumaat, 4 September 2020 | 12:14pm
Penduduk setempat beratur menunggu giliran bagi mengambil bekalan air dari lori tangki Air Selangor di Jalan 23/56, AU3 Keramat susulan gangguan bekalan air di Lembah Klang. NSTP/NURUL AMELIA ISHAK
Penduduk setempat beratur menunggu giliran bagi mengambil bekalan air dari lori tangki Air Selangor di Jalan 23/56, AU3 Keramat susulan gangguan bekalan air di Lembah Klang. NSTP/NURUL AMELIA ISHAK

Kilang punca empat LRA henti tugas disita

SHAH ALAM: Kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sudah ditutup dan disita.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pelbagai pihak kini sedang berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.

"Berkenaan isu pencemaran yang menyebabkan henti tugas operasi Loji Rawatan Air (LRA), kilang yang terbabit sudah ditutup dan disita.

"Usaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air sedang giat dilaksanakan sejak semalam tanpa henti untuk memastikan air yang bersih dan selamat," katanya.

Semalam, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Hee Loy Sian, berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kilang itu gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan selain menemui bau seakan-akan pelarut mengalir ke sungai.

Beliau turut mengarahkan kilang berkenaan ditutup sementara menunggu keputusan siasatan selain pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan LUAS bersama agensi berkaitan.

Menurut Loy Sian, kilang berkenaan pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini tetapi masih mengulangi kesalahan yang sama.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat LRA negeri ini terpaksa dihenti tugas pagi ini.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas jam 7.15 pagi semalam manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Sehingga jam 6.30 pagi tadi, LRA masih belum beroperasi bagaimanapun pencemaran kini berada pada tahap satu TON dan LRA akan kembali beroperasi apabila ia mencapai tahap kosong TON.

Berita Harian X